Tinjauan mendapati, sejak pukul 10 malam tadi puluhan ribu kenderaan telah mula memasuki kawasan sempadan Merapoh, Pahang ke Gua Musang.
Seorang pengguna jalan raya, Faziman Che Mat, 53, berkata, dia bersama keluarga bersemangat pulang ke kampung kerana ingin menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, mereka terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas dari Shah Alam, Selangor ke Gua Musang selama lebih enam jam kerana trafik bergerak perlahan.
“Saya bergerak dari rumah pukul 4.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan perjalanan. Semangat nak balik ke kampung untuk mengundi kali ni lebih seperti macam nak sambut hari raya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang warga emas, N. Arumugan, 76, berkata, mereka sekeluarga teruja untuk balik mengundi di Gual Ipoh, Tanah Merah.
Katanya, pergerakan trafik agak perlahan kerana berlaku beberapa kemalangan sepanjang perjalanan dari Selangor ke Gua Musang.
“Dalam kita teruja nak balik mengundi, keselamatan diri dan ahli keluarga harus dijaga. Semua orang semangat nak balik mengundi untuk memilih kerajaan dan bakal pemimpin negara selepas ini,” katanya.
Sumber: Kosmo Online | 8 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan