KOTA BHARU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap Kerajaan Persekutuan baharu yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) akan bersikap adil terutama dalam aspek pembangunan negeri itu.
Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata ketika BN memerintah, Kerajaan Persekutuan ketika itu tidak menganaktirikan Kelantan dengan menyalurkan pelbagai peruntukan dan projek bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.
"Projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan terletak di tangan kerajaan baharu tapi saya rasa projek lama yang diluluskan dan sedang dijalankan akan diteruskan kerana peruntukan telah diluluskan."
"Saya berharap agar kerajaan baharu akan bersikap adil terhadap Kelantan kerana kita mundur dari segi pembangunan. Projek yang diluluskan sebelum ini adalah untuk rakyat," katanya pada sidang media pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Bangunan UMNO Kelantan hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan calon-calon BN yang bertanding pada PRU14.
Ditanya adakah BN akan bekerjasama dengan PAS sebagai pembangkang selepas ini, Mustapa berkata ia terserah kepada pucuk pimpinan parti walaupun beberapa kerjasama terutama membabitkan hubungan antara persekutuan dan negeri telah berlangsung sebelum ini, selain membabitkan hal berkaitan Islam.
"Dalam politik belum ada pertemuan dan belum ada apa-apa usaha atau inisiatif ke arah itu," katanya.
Mustapa berkata BN akan menjadi kumpulan pendesak terhadap kerajaan baharu pimpinan PH yang menjanjikan pelbagai perkara dalam manifesto mereka sebelum ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PAS yang kekal memerintah Kelantan pada penggal ini.
Katanya BN akan menggunakan penggal ini untuk bermuhasabah namun dalam masa yang sama akan terus istiqamah dalam mengembalikan semula perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Sumber: Bernama | 11 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan