Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 6 Mei 2018

BN mampu capai kemenangan di Kuala Krai

Hospital Kuala Krai yang baharu bernilai RM300 juta. 
KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Krai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berdasarkan rekod baik perkhidmatan serta pembangunan yang dibawa sejak lima tahun lepas di kawasan itu.

Rekod baik kerajaan pusat pimpinan BN di Kuala Krai dibuktikan dengan pembinaan Hospital Kuala Krai bernilai RM300 juta serta pembinaan 1,115 Rumah Kekal Baharu (RKB) kepada mangsa bencana banjir pada 2014, jambatan di Sungai Durian serta kemudahan lain.

Calon BN Parlimen Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman berkata rekod baik yang ditunjukkan oleh BN di kawasan itu menjadi nilai tambah kepada pengundi untuk menyatakan sokongan kepada BN.

"Sekarang kami (BN) sedang perhebatkan gerakan turun padang menemui pengundi dan setakat ini sambutan yang diterima amat baik, dengan izin Allah SWT kami (BN) akan diterima oleh rakyat dan akan menang di kerusi Parlimen ini," katanya kepada Bernama.

Ramzi, 60, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai berkata beliau bercadang melalui kerajaan pusat untuk membina 2,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu, sekiranya menang.

"Di kawasan ini masih ada yang tinggal tiga keluarga dalam satu rumah, kami bercadang untuk ringankan beban keluarga seperti ini dan banyak lagi perancangan yang akan BN laksanakan sekiranya menang," katanya yang merupakan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong.

Sementara itu, tinjauan Bernama dalam kalangan pengundi mendapati rata-rata mahu BN mengambil alih kawasan itu daripada pembangkang.

Seorang penduduk, Ariffin Abdullah, 38, dari Kampung Tualang berkata pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Krai membuktikan yang kerajaan pimpinan BN tidak pernah menganaktirikan penduduk di kawasan ini.

"Banyak bantuan yang diberikan kepada penduduk di kawasan Kuala Krai khasnya, kali ini berilah BN menang pada pilihan raya ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Khairul Azha Ahmad, 28, dari Guchil berkata rakyat perlukan pemimpin yang boleh memberikan khidmat bukan hanya ketika pilihan raya tetapi setiap masa.

"Pemilihan dia (Ramzi) memang tepat kerana beliau telah buktikannya di kawasan DUN Dabong, harapnya lebih banyak pembangunan dapat diwujudkan di kawasan ini," katanya.

Pada PRU14 ini, Ramzi berdepan cabaran daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS) dan Dr Ir Mohd Yazid Abdullah (PKR-Amanah).

Pada PRU13, calon BN Tuan Aziz Tuan Hamat @ Tuan Mat memperolehi 25,876 undi, tewas kepada Mohd Hatta Md Ramli daripada PAS (kini sertai Amanah) yang mendapat 27,919 undi (majoriti 2,043 undi).

Bagi PRU14, Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan 70,348 pemilih berdaftar bagi Parlimen Kuala Krai.

Sumber: Bernama | 5 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan