Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 12 Mei 2018

PH wajar teruskan projek ECRL

KOTA BHARU: Pelaksana­an projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer yang turut melibatkan negeri ini wajar diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, ECRL merupakan projek berimpak tinggi yang mampu menjana ekonomi negeri-negeri di Pantai Timur, terutamanya Kelantan.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab bagi kerajaan Pusat yang baharu enggan meneruskan projek yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Hal ini terletak di tangan kerajaan baharu untuk menentukan hala tuju. Cuma bagi pihak kerajaan yang lama, kita merasakan projek ini baik untuk Pantai Timur dan Kelantan kerana mampu menjana ekonomi lebih baik kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas BN negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri bertemu semua kepemimpinan negeri serta calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Projek ECRL menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan telah bermula dan dijadual siap pada Jun 2024.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap kerajaan Pusat meneruskan pelbagai projek berimpak tinggi lain seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan lebuh raya serta jejambat dan jalan pintas di seluruh negeri.

Kata beliau, Kelantan yang jauh ketinggalan berbanding ne­geri lain dari segi infrastruktur dan prasarana amat memerlukan projek-projek tersebut.

“Mana-mana projek yang sudah diluluskan, sudah ada kontraktor patut tidak ada masalah.

“Walaupun Kelantan di bawah pembangkang, kita harap kerajaan PH berlaku adil sebagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku adil ketika menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 11 Mei 2018 | Terbitan 12 Mei 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan