PUTRAJAYA: Kebanyakan negeri mencatat pertumbuhan ekonomi lebih baik pada 2017 kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan, kata Jabatan Perangkaan, hari ini.
Malah, prestasi itu turut memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mengukuh kepada 5.9 peratus pada tahun lepas berbanding 4.2 peratus pada 2016.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan kukuh dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian telah memacu prestasi ekonomi beberapa negeri seperti Pahang yang meningkat kepada 7.8 peratus berbanding 2.0 peratus pada 2016, Selangor pada 7.1 peratus (2016: 4.8 peratus), Johor 6.2 peratus (2016: 5.7 peratus), Perak 5.5 peratus (2016: 4.1 peratus), manakala Kelantan 5.0 peratus (2016: 4.8 peratus).
"Selain gabungan sektor-sektor ini, prestasi memberangsangkan dalam sektor pembinaan turut memacu ekonomi negeri Melaka yang mencatat pertumbuhan 8.1 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2016, Terengganu 5.9 peratus (2016: 3.1 peratus) dan Negeri Sembilan 4.9 peratus (2016: 3.5 peratus)," katanya pada sidang media mengenai prestasi ekonomi negeri dan gaji serta upah 2017 di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata ekonomi Kedah tumbuh 5.0 peratus (2016: 3.2 peratus), dipacu oleh sektor pertanian.
Sektor perkhidmatan ternyata menjadi pemacu utama pertumbuhan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merekodkan 7.4 peratus (2016: 5.9 peratus).
"Sabah mencatat pertumbuhan 8.2 peratus (2016: 4.7 peratus) manakala Sarawak turut meningkat kepada 4.7 peratus (2016: 2.3 peratus).
"Pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak pula didorong oleh peningkatan sektor berasaskan komoditi seperti pertanian serta perlombongan dan kuari," katanya.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata keadaan sebaliknya di Pulau Pinang dan Perlis yang mencatat penyusutan pertumbuhan iaitu masing-masing 5.3 peratus (2016: 5.6 peratus) dan 2.3 peratus (2016: 3.9 peratus) berikutan prestasi lebih perlahan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.
"Labuan pula mencatat pertumbuhan 6.1 peratus berbanding 7.2 peratus pada 2016," katanya.
Mohd Uzir berkata tujuh negeri mencatatkan pertumbuhan melebihi paras nasional (5.9 peratus) pada 2017 iaitu Sabah pada kadar 8.2 peratus diikuti Melaka (8.1 peratus), Pahang (7.8 peratus), Kuala Lumpur (7.4 peratus), Selangor (7.1 peratus), Johor (6.2 peratus), and Labuan (6.1 peratus).
Selain itu, enam negeri menyumbang 71.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional pada 2017 berbanding 70.6 peratus pada tahun sebelumnya.
"Selangor merekodkan sumbangan sebanyak 23.0 peratus diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.6 peratus), Sarawak (9.7 peratus), Johor (9.5 peratus), Sabah (6.8 peratus) dan Pulau Pinang (6.6 peratus."
Dalam pada itu, mengulas statistik tahunan gaji dan upah, Mohd Uzir berkata data Survei Gaji & Upah 2017 menunjukkan nilai penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja meningkat pada kadar 7.7 peratus setahun kepada RM2,160 daripada RM2,000 pada 2016.
"Purata gaji dan upah bulanan pula meningkat kepada RM2,880 berbanding RM2,657 pada tahun sebelumnya dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus," katanya.
Beliau berkata peningkatan gaji dan upah pada 2017 juga seiring dengan prestasi ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2016.
"Pada tempoh sama, eksport merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 20.3 peratus yang bernilai RM935.5 bilion," katanya.
Selain itu, Mohd Uzir berkata penengah gaji dan upah bulanan bagi kedua-dua pekerja lelaki dan perempuan mencatat pertumbuhan tinggi iaitu masing-masing 8.2 peratus dan 7.0 peratus.
"Dari segi purata gaji dan upah bulanan, pekerja perempuan merekodkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu 9.1 peratus manakala pekerja lelaki pada 7.5 peratus."
Laporan kaji selidik itu turut menunjukkan kadar pertumbuhan penengah gaji dan upah bulanan pekerja di bandar meningkat 6.6 peratus setahun kepada RM2,260 manakala penengah gaji dan upah bulanan pekerja di luar bandar menokok 3.6 peratus kepada RM1,400.
"Pertumbuhan bagi purata gaji dan upah pekerja di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar adalah lebih tinggi iaitu masing-masing pada 7.7 peratus (RM3,038) dan 6.3 peratus (RM2,040)," katanya.
Sumber: Bernama | 8 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan