KUALA LUMPUR: Belum ada perubahan dibuat setakat ini ke atas projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.
Beliau berkata projek itu sudah bermula, dan kini berjalan lancar, dengan kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd, bekerja rapat dengan pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd.
"Setakat yang saya tahu, tidak ada perubahan dalam projek ECRL," katanya pada sidang media selepas melawat anak kedua pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, di Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi di Zoo Negara di sini hari ini.
Kerajaan Pakatan Harapan mahu mengkaji semula semua projek mega asing bagi membantu mengurangkan perbelanjaan dan hutang negara.
Antara projek tersebut ialah ECRL sepanjang 688 km, menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM55 bilion, dan dijadual siap pada 2024.
Bai berkata beliau menemui Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis, dan Perdana Menteri memberi jaminan mengenai prospek kerjasama lebih luas antara Malaysia dan China.
"Kami merasakan kerajaan baharu Malaysia mengutamakan hubungan penting Malaysia-China dan banyak kemungkinan lain."
"Kami yakin Malaysia dan China akan mempunyai pembangunan yang lebih besar," katanya dan menambah hubungan Malaysia-China akan terus makmur di bawah kerajaan baharu.
Bai berkata China dan Malaysia sudah menikmati hubungan dua hala yang baik sejak 44 tahun yang lepas, termasuk 22 tahun semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri sebelum ini (1998?2003).
Beliau berkata hubungan baik akan terus dikekalkan tanpa mengira perubahan yang berlaku dalam negara di kedua-dua negara atau dunia.
Sumber: Bernama | 26 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan