KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kekal dengan tuntutan royalti minyak lima peratus seperti perjanjian yang ditandatanganinya dengan Petronas pada 1975, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Bagaimanapun, katanya Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan "berjiwa besar" jika mahu memberi 20 peratus sebagaimana janji manifestonya.
Perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan nanti, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan mengutus surat kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan pertemuan itu dalam masa terdekat.
"Kami sedang menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya... Perkara ini akan kita sebut dalam pertemuan dengan Perdana Menteri (nanti)," kata beliau.
Ahmad berkata hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjalan seperti biasa dan pihaknya bersedia untuk meningkatkan hubungan itu ke arah yang lebih baik.
Sementara itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa dikenali sebagai "Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK)" bagi memantau pelaksanaan program-program dalam manifesto yang dijanjikan pada PRU14 lepas.
"Pelaksanaan setiap manifesto yang dijanjikan itu akan dipantau oleh Setiausaha Kerajaan Negeri supaya program-program itu dapat berjalan dengan baik sekali gus hasrat kita untuk melihat Kelantan yang lebih baik tercapai.
"Selain itu, portfolio baharu iaitu Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti yang disandang Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kini juga akan fokus kepada aktiviti penguatkuasaan pencerobohan hutan dan tanah kerajaan bagi meningkatkan hasil pendapatan dan sifar ketirisan kepada kerajaan negeri," katanya.
Sumber: Bernama | 23 Mei 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan