Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 31 Julai 2013

Ikan bakar berempah guna ramuan istimewa di pekan Pasir Puteh

PASIR PUTEH, 31 Julai: Ikan bakar berempah yang dijual di Bazar Ramadan Pasir Puteh mendapat sambutan memberangsangkan, kerana ia merupakan lauk pembuka selera berbuka puasa.

Pengusaha, Riduan Mohd Nor, 25, berkata, ramuan rempah istimewa membangkitkan aroma dengan balutan daun pisang yang menjadikan ia menarik minat orang ramai.

Katanya, ikan keli dan ikan pari bakar merupakan dua jenis ikan yang paling digemari, bagaimanapun ikan jenis lain tetap disediakan sebagai pilihan.

“Kalau kita lihat, di mana-mana bazar Ramadan pun, ada orang menjual ikan bakar berempah, ini bukti jelas lauk ini mendapat sambutan.

“Saya memilih untuk mengusahakan ikan bakar selepas mendapat ramuan istimewa yang membolehkan saya dapat bersaing dengan pengusaha lain,” katanya.

Sehingga sekarang katanya, dia mempunyai ramai pelanggan tetap dan ada yang membuat tempahan awal dengan menentukan jenis ikan yang diperlukan.

“Saya akan berusaha mendapatkan jenis ikan yang diminta, walaupun ada ketikanya harga bahan mentah itu terlalu tinggi kerana apa yang penting, permintaan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2013 |

'Kereta sapu' sekat periuk nasi pemandu kereta sewa di pekan Kuala Krai


Pemandu menunggu kehadiran penumpang di Hentian Kereta Sewa Kuala Krai.
KUALA KRAI, 31 Julai: Kira-kira 50 pemandu kereta sewa mendakwa kehadiran 'kereta sapu' di sekitar bandar ini, menjejaskan sumber pendapatan mereka dan bertambah meruncing sejak akhir-akhir ini.

Dakwa mereka, masalah ini bukan perkara baru, tetapi terus berleluasa sejak kebelakangan ini dan pihak berkenaan perlu segera bendung untuk elak berleluasa.

Mereka mendakwa jarang mempunyai penumpang dan adakalanya hanya satu perjalanan setiap kenderaan yang sudah semestinya membuatkan pemandu kereta sewa di sini, semakin tertekan dengan kemerosotan pelanggan itu.

Keadaan ini mengundang keresahan dalam kalangan mereka, apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi kerana pelbagai keperluan keluarga terutama pakaian harus disediakan.

Sehubungan itu, pemandu kereta sewa menggesa pihak berkenaan membantu mereka menangani masalah ini dengan mengadakan pemeriksaan ke atas kenderaan yang beroperasi sebagai kereta sapu yang mengambil penumpang di sekitar bandar ini.

Pemandu dikenali Din, 65, berkata, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta sewa semakin berkurangan menjelang Aidilfitri, sehingga menyebabkan kebanyakan mereka hanya datang ke stesen tersebut menunggu pelanggan.

Bagaimanapun katanya, ramai yang hampa kerana perjalanan untuk mereka membawa penumpang agak terhad. “Kebiasaannya kami membawa penumpang untuk satu perjalanan dalam masa sehari, adakalanya kami tidak mempunyai pelanggan. “Justeru terpaksa pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Dakwanya bukan hasrat mereka menyekat periuk nasi pemandu 'kereta sapu', tetapi itu adalah kerjaya tetap kira-kira 50 pemandu kereta sewa sekitar Kuala Krai, berbanding pemandu 'kereta sapu' yang mungkin mempunyai pekerjaan lain dan melakukannya secara sampingan. 

“Kami amat berharap pihak berkenaan dapat membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang membawa penumpang di bandar Kuala Krai menjelang Aidilfitri ini.

“Saya dapati penumpang agak ramai, tetapi sebahagian besar mereka menggunakan perkhidmatan 'kereta sapu'',” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2013 |

Anak dalang rompak bapa di Kota Bharu

Oleh ADILA SHARINNI WAHID
Ketiga-tiga mereka akan menjalani perintah tahanan reman bagi membantu siasatan polis.
KOTA BHARU, 30 Julai: Seorang bapa bernasib malang apabila menjadi sasaran anak sendiri yang mendalangi kejadian rompakan berkumpulan dan bersenjata ke atasnya, di Kampung Sireh Bawah Lembah, di sini, 21 Julai lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Kormisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, 63, berada di rumah bersama seorang lagi anak perempuannya yang berusia lingkungan 20an.

Katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua beranak itu didatangi dua lelaki, seorang daripadanya bertopeng dan bersenjatakan pistol manakala seorang lagi membawa lawi ayam.

“Mereka masuk melalui pintu dapur dan kebetulan anak perempuan mangsa ada di dapur ketika itu lalu diacukan pistol oleh suspek.

“Terkejut dengan tindakan suspek, wanita itu menjerit menyebabkan bapanya bergegas ke dapur untuk melihat apa yang berlaku. Dia kemudiannya turut sama diacukan pistol sebelum mereka diikat menggunakan wayar nilon,” katanya.

Azham berkata, sejurus mengikat kedua-dua mangsa, suspek masing-masing berusia 31 dan 33 tahun itu terus menggeledah rumah dan melarikan barangan kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000.  Turut dicuri, empat telefon bimbit milik mangsa.

Menurutnya, hasil kecekapan risikan awal, polis menahan anak lelaki mangsa yang berusia 32 tahun di rumah mereka, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati anak mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor mengaku menjadi perancang yang menyuruh dua kenalannya itu merompak mangsa. Susulan penahanannya, polis berjaya menahan dua lagi suspek yang melakukan kejadian rompakan itu,” katanya.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos depan. Kes disiasat 395/397 kerana samun berkumpulan bersenjata.


Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 31 Julai 2013 |

14 ambulans baharu untuk Kelantan

KOTA BHARU, 30 Julai: Jabatan Kesihatan Kelantan menerima 14 unit ambulans baharu bernilai RM5.37 juta, hari ini.
  
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata ambulans itu adalah tambahan kepada tujuh unit ambulans bernilai RM2.68 juta yang diterima sebelum ini.
  
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Ambulans kepada hospital dan klinik di Kelantan, Makhtar berkata kesemua ambulans itu akan ditempatkan di hospital daerah dan klinik kesihatan di negeri ini.

Sumber: BERNAMA | 30 Julai 2013 |

Selasa, 30 Julai 2013

Kisah Kehidupan: Pilu sambut Aidilfitri tanpa ibu, ayah

KOTA BHARU, 30 Julai: Ketika remaja seusianya ralit dengan rencah dunia mereka, Muhammad Zulhairie Zainudin, 17, memikul beban orang dewasa menjadi 'ayah' kepada empat adiknya selepas bergelar yatim piatu Mei lalu.
  
Remaja dari Kampung Chekok, dekat sini itu mengorbankan persekolahannya bagi mencari rezeki agar adik-adiknya -- Nur Hazfitrie, 15; Muhammad Zikrie Ikhwan, 13; Muhammad Zulhusni Jafni, 11, dan Nur Hidayah, 7 -- dapat bersekolah.     

"Saya bekerja membuat burger dan membancuh air di sebuah gerai dekat dengan kampung dengan pendapatan sekitar RM150 seminggu, selain bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini semalam.
  
Katanya ayah mereka Zainudin Nafi meninggal dunia Mei lalu selepas menderita sakit dalam perut, manakala ibu Habibah Mat Adam kembali ke Rahmatullah pada 2010 akibat jangkitan kuman.
  
Tinjauan Bernama mendapati rumah yang didiami lima beradik itu dalam keadaan daif dengan pintu utama hanya bertutup dengan langsir dan sumber air pula dari telaga tiub.
  
Jika si abang mencari rezeki, si adik yang paling tua Nur Hazfitrie menggalas peranan 'ibu', menyediakan makanan dan mengemas rumah.
  
"Sepanjang bulan Ramadan ini, saya terpaksa bangun awal pagi untuk masak makanan untuk bersahur. Petang pula memasak untuk berbuka puasa.
  
"Mujur arwah ayah ada tinggalkan sebuah motosikal untuk abang (Muhamad Zulhairie). Bolehlah abang gunakannya untuk hantar dan ambil saya dan adik dari sekolah," katanya.
  
Pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor itu bagaimanapun reda dengan nasib yang menimpa mereka dan tidak patah semangat untuk berusaha mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal didudukinya tahun ini.
  
Dalam pada itu, Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) yang prihatin dengan nasib menimpa keluarga tersebut, tampil menghulur bantuan di bawah program tanggungjawab sosial 'Sentuhan Ramadan Kemudi' bagi meringankan beban lima beradik berkenaan.
   
Presidennya, Anwar Hussin berkata Kemudi memilih keluarga itu untuk dibantu kerana terharu dengan pengorbanan Muhamad Zulkhairie yang sanggup berhenti sekolah bagi mencari nafkah untuk keluarganya.
  
"Kita akan teruskan program sebegini sepanjang Ramadan dan Syawal ini bagi membela nasib golongan yang memerlukan. Ini adalah program tahunan Kemudi yang mula dilaksanakan tahun lepas," katanya.
  
Turut tampil memberi sumbangan ialah Pengurus VS Golden Beauty, Vivi Sumanti Che Ahmad dan syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd.

Sumber: BERNAMA | 30 Julai 2013 |

Tuak tetap jadi pilihan di Kelantan

Dua premis jual makanan disita di Gua Musang kerana abaikan aspek kebersihan

Satu daripada dua premis yang didapati kotor disita sebelum diarahkan membersihkannya dalam tempoh dua hari.
GUA MUSANG, 30 Julai: Sebanyak dua premis menjual makanan disita dalam operasi bersih sekitar bandar ini, pagi semalam berikutan mengabaikan aspek kebersihan

Operasi yang diadakan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan itu membabitkan dua premis di Jalan Pulai dan Kampung Baru.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran MDGM, Mohd Hisham Hassan berkata, operasi selama tiga jam berakhir 1 petang itu membabitkan semua premis menjual makanan. 

Beliau berkata, sebanyak 16 premis menjalankan perniagaan kedai makan itu diperiksa dan mendapati hanya dua premis tidak menjaga kebersihan hingga terpaksa disita untuk sementara waktu.

“Pihak kita memberi tempoh dua hari kepada pemilik premis terbabit membersihkan semua kawasan perniagaan mereka, sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas pihak kami berpuas hati dengan tahap kebersihan premis tersebut.

“Kita bahagikan operasi itu dalam tiga kumpulan untuk mempercepatkan pemeriksaan kawasan perniagaan termasuk restoran,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hisham berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-undang Kecil Penyeliaan, Pengawalan Establishmen Makanan MDGM 2001 yang boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500.

Beliau bimbang jika tiada sebarang tindakan, peniaga akan terus mengabaikan kebersihan yang boleh menjejaskan kesihatan pelanggan.

“Kita akan menjalankan operasi itu setiap masa  untuk memberi nasihat kepada peniaga supaya menitik beratkan penjagaan kebersihan premis masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada peniaga premis terbabit dan akur dengan tindakan untuk menyita sementara sebelum kedai mereka boleh beroperasi semula.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Julai 2013 |

Kemeriahan Ramadhan di Kelantan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di Kota Bharu, baru-baru ini.
 KOTA BHARU, 29 Julai: Sememangnya Ramadhan di Kelantan pada setiap tahun disambut dengan cukup meriah kerana bulan penuh rahmat itu amat dinanti-nantikan seluruh penduduk di negeri ini.

Kemeriahan sambutannya yang penuh dengan keunikan dikatakan tidak terdapat di negeri lain. Mana tidaknya sepanjang bulan tersebut, pelbagai aktiviti diatur bagi meraikan kedatangan bulan penuh barakah itu bermula daripada hari pertama Ramadhan sehingga ke penghujungnya. 

Selain beribadah, tidak ketinggalan turut memeriahkan sambutannya adalah kerana terdapatnya hidangan popular, iaitu colek. Sepanjang bulan berkenaan, bandar-bandar di sekitar negeri ini pastinya bertukar wajah. Kemunculan colek menyaksikan sesebuah kawasan yang selalunya sunyi kembali 'hidup' dengan kemeriahan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum sama-sama menikmati hidangan popular itu.

Salah sebuah kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul bersama sahabat handai dan kaum keluarga menikmati hidangan colek itu adalah di Cherang di sini. Landskap biasa kawasan berkenaan yang lengang terutama pada waktu malam pada hari-hari kebiasaannya berubah wajah bertukar penuh kemeriahan sepanjang bulan Ramadhan

Selain itu, kemeriahan bulan Ramadhan di negeri itu sudah pasti dengan kewujudan bazar-bazar yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka istimewa yang lazimnya tidak terdapat di negeri-negeri lain. Kewujudan bazar-bazar tersebut diibaratkan sebagai pesta makanan bagi rakyat Kelantan.

Antara yang menjadi lokasi tumpuan di Kelantan yang menyediakan 1,001 juadah itu seperti di bazar Ramadan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Pekan Ketereh, Pekan Kok Lanas, Melor, Pekan Jelawat, Pekan Rantau Panjang, Mini Stadium Pasir Mas dan di Wakaf Bharu.

Sementara itu, pada bulan Ramadhan, sememangnya tiada yang lebih penting bagi umat Islam selain daripada melipat-gandakan amal ibadat pada bulan rahmat ini. Tidak hairanlah di mana-mana sahaja, masjid menjadi tumpuan tidak kira lelaki atau wanita, kecil atau besar yang kesemuanya membawa tujuan yang sama iaitu datang untuk beribadat.

Antara masjid khususnya di Kota Bharu yang sentiasa menjadi tumpuan umat Islam bagi menunaikan ibadah adalah Masjid Muhammadi di sini dan Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. Dalam pada itu, satu lagi keistimewaan pada bulan tersebut di Kelantan adalah dengan kewujudan Qaryah Ramadan yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Kewujudan Qaryah Ramadhan sangat dinanti-nantikan umat Islam di negeri ini kerana di situlah mereka berpeluang menunaikan solat sunat tarawih berimamkan imam dari Asia Barat yang didatangkan kerajaan negeri.

Di pekarangan stadium berkenaan didirikan khemah bagi membolehkan pelbagai program keagamaan diadakan, bermula selepas berbuka puasa sehinggalah awal pagi. Selain tarawih, tazkirah Ramadhan dan ceramah keagamaan oleh cendekiawan Islam, beberapa program turut dianjurkan untuk menghidupkan suasana malam seperti tadarus dan khatam al-Quran termasuk secara beramai-ramai.

Aktiviti keagamaan seperti itu ternyata mendapat sambutan ramai dengan kehadiran lebih 3,000 jemaah dalam satu-satu masa untuk bertarawih dan menjelang tengah malam, masih kelihatan orang berada di dalam khemah yang disediakan untuk mendengar tazkirah.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 30 Julai 2013 |

Isnin, 29 Julai 2013

11 hospital baharu dibina tahun ini (termasuk Hospital Bachok) - Dr Hilmi Yahya

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Kementerian Kesihatan mendapat kelulusan membina 11 hospital baharu di seluruh negara tahun ini. Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia melibatkan Hospital Parit Buntar di Perak, Hospital Shah Alam (Selangor), Hospital Tampin dan Hospital Rembau (Negeri Sembilan) serta Hospital Bera dan Hospital Rompin (Pahang).
Yang lain ialah Hospital Kuala Krai dan Hospital Bachok (Kelantan) serta Hospital Lawas, Hospital Petra Jaya dan Hospital Sri Aman (Sarawak).
"Berbanding 140 hospital yang ada sekarang, 14 termasuk Hospital Kuala Lumpur dikategorikan sebagai hospital negeri, masing-masing 26 hospital berpakar major dan minor, 66 hospital tanpa pakar dan lapan institusi perubatan khas," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berhubung jumlah hospital daerah yang ada sekarang, bilangan yang akan dibina tahun ini dan bila sebuah hospital akan dibina di daerah Marang, Terengganu.
"Kementerian mendapati belum ada keperluan mendesak buat masa ini untuk membina hospital baharu di Marang. Ini kerana perkhidmatan rawatan pesakit bagi penduduk daerah itu telah diliputi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, kira-kira 20 kilometer dari Bandar Marang," jelas Dr Hilmi.
Selain itu, beliau berkata statistik kesihatan penduduk sedia ada juga mendapati tidak ada justifikasi keberkesanan kos agak kukuh untuk membina sebuah hospital daerah baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata sebuah projek klinik kesihatan di daerah itu dijangka mula dibina pada 2014 dengan anggaran kos RM25 juta. Kepada soalan tambahan, beliau berkata kementerian berhasrat mengurangkan nisbah doktor berbanding penduduk kepada 1:400 menjelang 2020 berbanding seorang bagi setiap 700 sekarang.
Sumber: BERNAMA | 29 Julai 2013 |

Penduduk sambut baik bas RapidKB

KOTA BHARU, 28 Julai: Orang ramai di negeri ini menyambut baik perkhidmatan bas Rapid yang bakal diperkenalkan di Kota Bharu pada tahun ini.  

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Ketereh mendapati perkhidmatan bas tersebut akan menyenangkan orang ramai untuk ke sesuatu tempat terutama bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Seorang pekerja am, Norhayati Awang, 43, berkata, kewujudan bas tersebut boleh memberikan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna. "Kami berharap perkhidmatan yang diberikan itu akan memberikan keselesaan dan lebih baik berbanding perkhidmatan pengangkutan awam lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) akan memulakan perkhidmatannya di Kota Bharu pada tahun ini. Langkah itu merupakan sebahagian daripada perancangan untuk meluaskan perkhidmatan bas rapid ke seluruh negara secara berperingkat mulai tahun ini bagi memastikan penduduk di negeri terbabit mendapat manfaat daripada perkhidmatan terbaik, cekap dan berkualiti.

Seorang pekerja swasta, Nik Zamzuri Nik Muhammad, 39, berkata, dengan adanya perkhidmatan bas itu di Kota Bharu akan menyenangkan orang ramai untuk bergerak ke sesuatu lokasi. "Kami difahamkan tambang yang dikenakan oleh bas ini agak murah dan berpatutan terutamanya bagi golongan pelajar untuk ke semua destinasi berbanding pengangkutan awam lain.

"Biasanya bas tersebut juga memberi kesenangan kepada golongan kurang berkemampuan iaitu bagi yang berkerusi roda kerana bas tersebut menyediakan tempat untuk mereka menaiki bas tersebut tanpa perlu menggunakan tangga," ujarnya.

Seorang peniaga, Ibrahim Ismail, 42, berkata, perkhidmatan bas itu akan memberikan pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan sistem pengangkutan awam yang ada pada hari ini.

"Selain itu, perkhidmatan bas tersebut juga dapat menambahkan pengangkutan awam yang sedia ada di Kota Bharu ini dan akan memudahkan orang ramai yang tidak mampu menggunakan kereta untuk menggunakan perkhidmatannya," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Julai 2013 |

Projek tebatan banjir Sungai Kelantan siap sepenuhnya

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my 


MAKHTAR Mustapha (dua dari kiri) mengagihkan bubur lambuk pada Majlis Bersama Peniaga dan Pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU, 28 Julai: Projek tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan berharga RM266 juta yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat kini siap sepenuhnya, sekali gus bakal menyelamatkan bandar ini daripada terus dilanda banjir akibat limpahan air sungai ketika musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, projek berkenaan yang mula dibina pada 2008 kini telah siap seperti yang dijadualkan. Beliau berkata, projek yang dianggap istimewa itu merupakan projek terbesar setakat ini di negeri ini dan akan memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan khususnya di Kota Bharu yang sering kali terdedah dengan banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Dengan siapnya tebatan banjir di Sungai Kelantan ini, banjir di kawasan Kota Bharu akan dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam Majlis Bersama Peniaga dan Pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.

Projek berkenaan yang mula dibina pada 2008 melibatkan pembinaan benteng sepanjang hampir 3.5 kilometer bermula dari Kampung Penambang hingga ke belakang Istana Kota Lama. Langkah itu turut merangkumi komponen utama seperti benteng sepanjang satu kilometer di Kampung Penambang, dinding penahan banjir di Kampung China sehingga ke belakang Istana Kota Lama sejauh 2.24 kilometer, tambahan dinding konkrit, pintu air dan pembinaan 26 sistem saliran.

Projek tersebut dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat ekoran limpahan air Sungai Kelantan di bandar Kota Bharu. Tambah Makhtar, Rakyat Kelantan perlu berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang berbelanja besar untuk membawa kemajuan di negeri ini demi kesejahteraan mereka.

"Pembinaan projek ini membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menepati janji dalam membawa kemajuan di negeri ini," katanya. Sementara itu dalam perkembangan lain, inisiatif kerajaan menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kelantan terus menunjukkan kesan yang amat positif apabila nilai jualan di pusat tersebut kini mampu mencecah RM20 juta sebulan.

Katanya, pencapaian membanggakan itu sekali gus menunjukkan RTC Kelantan merupakan pusat yang menjana nilai jualan tertinggi di negara ini mengatasi nilai jualan di RTC di Gopeng, Perak.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 29 Julai 2013 |

Tourism Malaysia Kelantan promosi keunikan Ramadhan

KOTA BHARU, 28 Julai: Tourism Malaysia Kelantan, dengan kerjasama syarikat penerbangan Firefly, menganjurkan program Ihya Ramadan mempromosi keunikan Kelantan sempena bulan mulia itu tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Kamal Azam Kamaruddin berkata antara pengisian program bercorak keislaman itu ialah lawatan ke Makam Tok Selehor dan Masjid Kampung Laut.

"Program ini bertujuan mempromosi produk yang boleh diketengah dan menarik minat pelancong luar," katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan konvoi Volkswagen di pekarangan sebuah hotel di Kota Bharu, Ahad.

Beliau berkata 30 peserta daripada jabatan di seluruh negara dibawa menjelajah beberapa tempat menarik sekitar Kota Bharu dan Tumpat dengan menaiki kereta Volkswagen model Beetle dan Kombi, dengan kerjasama Kelab Pemilik Volkswagen Klasik Kelantan. Program bermula Khamis lepas itu, berakhir Ahad.

Sumber: BERNAMA | 28 Julai 2013 |

Kanak-kanak diperalat mengemis di Pasar Borong Wakaf Che Yeh


KOTA BHARU, 28 Julai: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengesan sebuah sindiket yang memperalat kanak-kanak untuk mengemis di sekitar Pasar Borong Wakaf Che Yeh, yang menjadi destinasi tumpuan orang ramai membeli-belah di sini.

Pengarahnya, Md Noor Chik berkata berdasarkan maklumat awam, aktiviti itu dikatakan berlarutan sejak beberapa bulan lepas.

"Dalam serbuan malam tadi, kita menahan seorang kanak-kanak dan tiga pengemis dewasa, termasuk seorang warga asing, di sekitar kawasan itu.

"Kanak-kanak terbabit bergerak secara solo, namun kita percaya terdapat kumpulan mereka yang berpecah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops bersepadu Ramadan JKM dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu.

Md Noor berkata kanak-kanak berusia sembilan tahun itu masih ditahan untuk siasatan, manakala dua pengemis dewasa warga tempatan dihantar ke Rumah Sri Kenangan, Pengkalan Chepa untuk penempatan sementara manakala pengemis warga asing diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mengemis di negeri ini.

Sumber: BERNAMA | 28 Julai 2013 |

Jumaat, 26 Julai 2013

Sindiket curi beg di KLIA

Thaiveegan memakaikan pelindung siku kepada seorang anggota URB IPD Subang Jaya, semalam.
SUBANG JAYA, 26 Julai: Berkunjung ke negara ini sebagai pelancong, seorang lelaki warga Peru dikatakan aktif mencuri beg penumpang yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Aktiviti lelaki berusia lingkungan 30-an itu bagaimanapun berjaya dipatahkan apabila dia ditahan anggota Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ). Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, suspek akan berlegar-legar di kawasan lapangan terbang dan berada di kedai makan untuk mencari mangsanya.

Beliau berkata, kegiatan suspek turut mempunyai rangkaian sindiket yang menunggu di kawasan hentian kereta sewa. “Anggota yang menjalankan risikan dan pemantauan berjaya menghidu aktiviti jenayahnya. Dia ditangkap lewat malam kelmarin di KLIA.

“Suspek mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan polis akan memanggil penterjemah untuk membantu siasatan kes ini,” katanya selepas menyampaikan peralatan kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 26 Julai 2013 |

Syiah: Kerajaan Negeri Kelantan selari keputusan

KOTA BHARU, 26 Julai: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (gambar) selari dengan keputusan dan pandangan Pejabat Mufti Kelantan berhubung ajaran Syiah di negeri ini. Kenyataan tersebut dinyatakan beliau di laman sosial miliknya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

“Pada saya, sikap Kelantan sentiasa jelas dalam isu yang melibatkan akidah seperti ini, bahkan Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sendiri telah membuat keputusan pada 30 Mei 1996 lalu bahawa ajaran Syiah jelas menyeleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Mesyuarat yang sama juga menetapkan bahawa hanya akidah Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang diterima sebagai amalan oleh rakyat negeri ini, maka dalam hal ini saya akan mengambil kira pandangan pejabat mufti yang dikira lebih berhak untuk menyuarakan cadangan penambahbaikan sebagaimana yang telah dinyatakan,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Yakob yang juga Adun Pasir Pekan turut menegaskan kerajaan sentiasa komited untuk memerangi bukan hanya ajaran Syiah malah apa jua ajaran dan pemikiran yang menyeleweng daripada Islam.

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 26 Julai 2013 |

Colek menu 'ringan' waktu malam pada bulan Ramadhan di Kelantan

Pelbagai jenis colek disediakan di Restoran Dapur Ibu berhampiran Masjid Ibrahimi.
PASIR PUTEH, 26 Julai: Makan colek pada sebelah malam bulan Ramadan sudah menjadi budaya masyarakat Kelantan sejak dahulu lagi yang menyebabkan setiap kedai makan terpaksa menyediakan menu tersebut. Mohd Zamri Abdul Rahman, 43, berkata, dia pasti akan ke kedai makan bersama kawan-kawan sejurus selesai solat Terawih untuk menjamu selera dengan colek.

Katanya, fenomena itu sudah menjadi perkara biasa di negeri ini malah ia menimbulkan kehairanan jika ada kedai yang tidak menyediakan colek. “Saya tidak pasti sejak bila budaya ini bermula dan inilah budaya yang hanya boleh ditemui di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Restoran Dapur Ibu, Azahan Anwi berkata, budaya itu menuntut dia menawarkan pelbagai jenis colek di kedainya yang berhampiran Masjid Ibrahimi di sini. Katanya, sejak awal Ramadan lagi, mengunjunginya kedainya untuk mendapatkan colek istimewa.

“Pada malam Ramadan, pelanggan lebih gemar makan makanan lebih ‘ringan’ dan colek merupakan yang paling sesuai,” katanya kepada Sinar Harian. Azahan memulakan perniagaan tidak sampai setahun itu belum berdepan pengalaman berniaga pada malam raya ketika perantau pulang ke kampung halaman.

“Kami bercadang untuk membuka perniagaan pada malam raya, cuti hanya pada hari raya pertama dan kami kembali berniaga pada raya kedua ketika perantau masih ramai di kampung,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2013 |

Geng pecah rumah tumpas (Polis selesaikan 12 kes pecah rumah)

Haliluddin (kiri) menunjukkan pelbagai peralatan alat pecah rumah yang berjaya dirampas dari suspek, semalam.
PASIR MAS, 26 Julai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah di daerah ini dan Kota Bharu yang dianggarkan bernilai RM300,000 apabila berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita mengandung dalam sebuah serbuan di kawasan Pusu 40, Lubok Jong, di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, suspek berusia dalam lingkungan umur 18 hingga 31 tahun direman selama tiga hari bermula semalam.

“Suspek wanita, berusia 28 tahun dan mengandung tujuh bulan itu dipercayai isteri salah seorang lelaki yang ditahan dalam serbuan tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di dalam rumah tersebut, beberapa barangan telah ditemui di antaranya ialah empat televisyen LCD, tujuh skrin komputer, dan lima komputer riba,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, semalam.

Serbuan yang dilakukan pada jam 6.30 petang kelmarin itu dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas.

Menurutnya, polis turut menemui dua buah set pemain teater, satu pemotong besi saiz 24 inci dan pelbagai alat pecah rumah.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan lanjut yang dilakukan di sekitar rumah tersebut polis berjaya merampas dua buah kereta iaitu jenis Honda dan Toyota serta sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Nilam Puri dan Kok Lanas, Kota Bharu.

Haliluddin berkata, pihaknya turut mengadakan ujian air kencing ke atas semua suspek dan didapati mereka positif dadah jenis metamphetamine.

“Selain itu, hasil semakan rekod jenayah lampau didapati dua daripada suspek tersebut mempunyai rekod berkaitan kes curi motosikal, samun dan kes dadah,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta boleh dikenakan denda.

Beliau berkata, jika kesalahan tersebut dimaksudkan mencuri boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda dan sebat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2013 |

Masjid Muhammadi kekal tradisi

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my
 
DARI kiri, Che Membunga Mamat, Fatimah Jaafar dan Aminah Yusuf membaca al-Quran di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - Utusan/Asma Hanim Mahmood
KOTA BHARU, 25 Julai: Ketibaan Ramadan, bulan penuh keberkatan yang melimpah dengan rahmat sangat dinanti sesiapa yang 'merinduinya' kerana setiap amalan sudah dijanjikan pahala berganda.

Selama sebulan, setiap pintu untuk membuat kebaikan dan amal soleh dipermudahkan seluas-luasnya kepada mereka yang ikhlas mahu memperbaiki diri dan menambah deposit 'akaun' akhirat.

Bayangkan jika selama ini kita mungkin berdalih kesuntukan masa untuk membaca dan menelaah halaman al-Quran ataupun mendirikan solat, tetapi apabila tibanya Ramadan, seolah-olah waktu lapang itu dihadiahkan Allah buat kita, tinggal lagi sama ada kita sendiri yang mahu menyambut dan mengisinya.

Menyedari pulangan dan keuntungan besar beribadah dalam bulan mulia ini, maka tidak hairanlah apabila amalan beriktikaf di masjid negeri Masjid Muhammadi di sini telah menjadi tradisi dan budaya masyarakat Islam di Kelantan.

Masjid dengan binaan terbuka dan berunsur seni bina kolonial pra-Perang Dunia Kedua berwarna kuning cair dan coklat dengan kubah keemas-emasan yang menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu ini membuka pintu seluas-luasnya untuk tetamu Ramadan beriktikaf.

Dalam ajaran Islam, iktikaf atau berada di masjid untuk tempoh tertentu adalah amalan yang sunat dilakukan pada bila-bila masa dan paling afdal dilakukan pada 10 hari terakhir Ramadan.

Sejak sekian lama, Masjid Muhammadi menjadi tumpuan yang mana jemaah datang dari seluruh pelosok negeri ini bukan sahaja pada penghujung bulan mulia ini, bahkan ada yang datang beriktikaf sejak awal lagi, yakni selama sebulan penuh.

Istimewanya di masjid ini, peluang iktikaf itu bukan hanya direbut oleh golongan lelaki seperti mana kebiasaan di tempat lain, tetapi juga wanita yang menjadikan rumah Allah itu kediaman sementara. Iktikaf bagi mereka bukan sekadar menghabiskan kebanyakan waktu dalam sehari di masjid, tetapi hakikatnya 24 jam kekal berada di situ sepanjang Ramadan.

Tahun ini, terdapat lebih 20 wanita yang hampir kesemuanya warga emas 'menginap' di situ dan mengunakan tikar sebagai alas tidur di bahagian luar ruang solat masjid tersebut yang lapang dan selesa. Biarpun malam mereka ditemani nyamuk yang 'mengilai' di telinga dan berbantalkan lipatan kain, namun ini bukanlah satu masalah besar, malah tidak bimbangkan keselamatan diri kerana menurut mereka, masjid itu ada pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam.

Salah seorang daripada mereka, Che Membunga Mamat, 80, dari Mulong berkata, beliau sudah lebih 20 tahun beriktikaf di masjid itu sepanjang Ramadan dan berazam untuk melakukannya lagi tahun hadapan jika dipanjangkan umur.

Katanya, adalah lebih baik dirinya berada di masjid kerana tidak perlu menyusahkan anaknya untuk keperluan makan minum, selain dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran.

"Saya duduk di Mulong pun menumpang rumah anak yang juga ibu tunggal, saya tidak ada 'tanah air', tidak ada harta, lebih baiklah saya duduk di masjid. "Walaupun saya datang dengan duit hanya RM20 dalam tangan, tetapi saya tidak berasa susah di sini kerana pihak masjid menyediakan makan dan minum untuk berbuka, selain jemaah yang selalu memberi hadiah dan sedekah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Che Membunga memberitahu, biarpun usianya sudah lanjut, namun dirinya masih mampu menguruskan diri seperti membasuh pakaian sendiri di tandas masjid. "Tetapi berbanding tahun-tahun dahulu, saya belum lagi dapat khatam al-Quran walau sekali, dahulu saya boleh khatam dua hingga tiga kali ketika Ramadan di masjid ini," katanya lagi.

Seorang lagi 'tetamu' iaitu Fatimah Jaafar, 65, yang berasal dari Kampung Jerek Baru, Gua Musang berkata, beliau datang ke Kota Bharu dengan menaiki kereta api yang berhenti di Wakaf Bharu, Tumpat sebelum menyewa teksi ke masjid itu.

Katanya, ini adalah tahun ketiga dirinya beriktikaf di masjid itu dan memberitahu setakat pengetahuannya, hanya Masjid Muhammadi yang membenarkan golongan yang berminat untuk 'berumah' sepanjang Ramadan di situ.

"Pada bulan Ramadan sahaja peluang ini diberi kepada sesiapa sahaja untuk tinggal di masjid dengan syarat menjaga kebersihan dan menyimpan barang-barang peribadi dengan elok, khususnya apabila waktu solat Jumaat untuk memberi ruang jemaah lelaki sembahyang.

"Setiap pagi ada sesi pengajian al-Quran dan selepas Zuhur dan Asar juga ada kuliah, selain Tarawih 20 rakaat. "Pada permulaan Ramadan baru-baru ini ada ramai warganegara Thailand memenuhi ruang masjid dan mereka tidur dengan anak-anak kecil, tetapi pihak masjid telah mengambil tindakan dan melarang pendatang asing datang beriktikaf kerana mereka kebanyakannya mahu mengemis," katanya.

Rakannya, Kelthom Mahmood, 72, dari Kampung Ingin Maju, Kuala Krai pula berkata, walaupun dirinya tidak lancar membaca al-Quran, namun itu bukan penghalang untuknya sama-sama beriktikaf di masjid itu sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, kesemua tetamu Ramadan di situ saling mengambil berat antara satu sama lain walaupun hanya bertemu setahun sekali. "Kami sudah tidak ada suami, sebab itu mudah untuk kami beriktikaf penuh sebulan, kami mahu cari pahala sebanyak-banyaknya sepanjang bulan ini," katanya.

Seorang lagi warga emas, Nik Ismail, 67, yang membahasakan dirinya 'Mok Yah' pula berasal dari Marang, Terengganu, tetapi sudah beberapa tahun tinggal di Pondok Pasir Tumboh dekat sini dan khusus pada bulan Ramadan, beliau memilih untuk 'menadah' al-Quran dan mendengar kuliah di Masjid Muhammadi.

"Ada kalanya 'Mok Yah' rasa tidak larat dan terpaksa meminta bantuan jemaah masjid yang lebih muda untuk mengangkat barang seperti beras yang orang sedekahkan, mujurlah tempat wuduk dan tandas masjid tidak jauh dari tempat kami tidur," katanya.

Aminah Yusuf, 80, dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh pula yang tidak mempunyai anak sanggup menunggu hingga ke pagi Aidilfitri sekiranya masih ada rakan lain bersamanya pada malam raya. "Sudah 15 tahun saya berpuasa di Masjid Muhammadi, kadang-kadang saya bersolat raya di sini, tetapi kalau semua orang lain mahu pulang, waris saya akan datang menjemput," katanya.

Seorang jemaah tetap masjid, Che Mah Che Husin, 76, dari Padang Bongor dekat sini pula berkata, tradisi beriktikaf dan tidur di masjid itu sepanjang Ramadan kekal dari dahulu sehingga kini. "Sejak dari usia muda lagi saya melihat tradisi ini berlaku, orang dari tempat yang jauh suka datang ke Masjid Muhammadi dan sanggup tinggal sebulan di sini," katanya yang berulang dari rumah untuk beriktikaf dari waktu Zuhur sehingga selesai Tarawih setiap hari. 

Sementara itu, Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah ketika dihubungi berkata, Masjid Muhammadi menjadi pilihan ramai untuk beriktikaf kerana kedudukannya sebagai masjid negeri.

Jelasnya, kalangan yang datang bukan sahaja terdiri daripada yang kurang berkemampuan, bahkan dari pelbagai peringkat, termasuk golongan kaya dan berpangkat. "Pihak masjid tidak menghalang sesiapa untuk beriktikaf di sini dan kami menyediakan juadah berbuka puasa untuk 500 jemaah setiap hari," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 26 Julai 2013 |

Khamis, 25 Julai 2013

Perkhidmatan bas Rapid diperluaskan ke seluruh ibu negeri mulai tahun ini (termasuk Kota Bharu)

GEORGE TOWN, 25 Julai: Perkhidmatan bas Rapid akan diperluaskan ke semua ibu negeri secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini, seiring dengan aspirasi Belanjawan 2013 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang berkualiti dan cekap untuk orang ramai.

Ketua pegawai eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Zohari Sulaiman berkata kerajaan komited untuk memperluaskan perkhidmatan bas. "Rancangan kami ialah untuk memenuhi mandat dan memulakan operasi di semua ibu negeri mulai tahun ini.

"Pada 2013, kami merancang perkhidmatan bas Rapid di Kota Bharu. Kami juga telah membuat persediaan untuk ini lebih awal lagi, tetapi menangguhkan pelaksanaannya.

"Dengan lampu hijau diberikan kerajaan, ia seharusnya bermula tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan kakitangan RapidPenang semalam.

Ditanya sama ada bas-bas elektrik akan diperkenalkan di Pulau Pinang, Zohari berkata tiada lagi perancangan ke arah itu, tetapi projek perintis pertama, Bus Rapid Transit (BRT) Sunway Line, telah sedia sebagai landas pelancaran. Projek itu dijangka beroperasi menjelang 2015.

"Kami merancang untuk mempunyai beberapa bas di bawah projek perintis. Sama ada ia akan diperluaskan ke kawasan operasi lain, akan diputuskan kemudian," kata Zohari, yang juga merupakan pengarah kumpulan Prasarana untuk bahagian bas.

Dengan anggaran kos RM300 juta, projek itu akan dilaksanakan di bawah kerjasama awam-swasta antara Prasarana dan Sunway Bhd. Cadangan laluan BRT-Sunway akan menyediakan perkhidmatan bas yang mesra kepada para pengunjung ke Sunway Resort City dan penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.

Mengulas mengenai operasi di Pulau Pinang, Zohari berkata RapidPenang akan mempunyai sejumlah 400 bas menjelang akhir 2014 untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap kepada warga Pulau Pinang.

Beliau berkata RapidPenang akan menambah 200 lagi bas buatan Eropah baharu, dengan 80 unit pertama dijangka tiba sebelum akhir tahun sementara yang selebihnya menjelang akhir tahun depan. Zohari berkata daripada 120 bas itu, 40 unit ialah bas dua tingkat.

Sumber: BERNAMA | 25 Julai 2013 |

20 pelantar minyak di dalam perairan Kelantan - Maritim



KUALA LUMPUR, 25 Julai: Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Wan Jusoh mendedahkan terdapat 20 Pelantar Petroleum di Perairan Negeri Kelantan.

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan bahawa Pelantar Minyak Bunga Raya yang berada kira-kira 107 batu nautika dari Tok Bali juga adalah antara Pelantar Petroleum yang berada dalam perairan negeri itu.

Pendedahan tidak sengaja itu dibuat beliau kepada media kelmarin ketika mengulas kawalan di perairan Kelantan dan sepanjang Sungai Golok pada hari raya nanti.

Beliau berkata, cuti 145 anggotanya pada seminggu sebelum dan seminggu selepas hari raya dibekukan bagi membolehkan operasi di perairan Kelantan seluas 20,000 kilometer persegi berjalan seperti biasa.

Menurutnya, nelayan asing bertindak berani menghampiri kawasan larangan iaitu 50 meter dari pelantar minyak tanpa memikirkan risiko bahaya di sebalik penggunaan bahan api untuk memasak di atas bot-bot mereka. Beliau berkata, hampir 20 pelantar minyak di perairan Kelantan menjadi tumpuan nelayan asing.

Katanya, menerusi Ops Perkasa Timur baru-baru ini, dua bot nelayan Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan ditahan KM Jujur berhampiran Pelantar Minyak Bunga Raya, pada jam 4.36 pagi kira-kira 107 batu nautika dari Tok Bali.

Bayar royalti kami

Mengulas pendedahan terbaru itu, Setiausaha Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti - R), Hisyamudin Ghazali (gambar) berkata, ianya telah mengesahkan bahawa kelantan mempunyai pelantak minyak dan berhak untuk mendapat bayaran royalti.

"Hal ini mengesah bahawa perairan Kelantan adalah seluas 20,000 km persegi dan hujah yg mengatakan perairan Kelantan hanya 3 batu Nautika seperti mana yang dimanipulasikan oleh pemimpin Umno BN dan Kerajaan Malaysia adalah hujah dangkal.

"Ini adalah satu pengkhianatan yang jelas kepada rakyat Kelantan yang mahukan royalti 5 peratus daripada pengeluaran petroleum Kelantan, yang tunggakan kini berjumlah RM12 bilion. Sila bayar royalti kami," tegasnya.

Sumber: Harakah Daily | 25 Julai 2013 |

Tiara Pesona labur RM7 juta beli 8 bas ekspres untuk Ekspres Perdana

KOTA BHARU, 24 Julai: Pengendali pengangkutan awam bas ekspres Perdana, Tiara Pesona Sdn. Bhd. akan melabur sebanyak kira-kira RM7 juta bagi membeli lapan buah bas baharu dalam usaha memantapkan lagi operasi dan kedudukan syarikat tersebut.

Ketua Eksekutifnya, Laili Ismail berkata, pembelian bas tersebut akan dilakukan secara berperingkat sehingga awal tahun hadapan. "Insya-Allah jika pelan perancangan ini berjaya, beserta dengan adanya kemampuan, pada penghujung tahun ini kita akan keluarkan empat buah bas baharu dan selebihnya pula awal tahun hadapan. Semua itu sedang dalam proses.

"Kita juga bercadang untuk menggantikan beberapa buah bas setingkat yang ada itu kepada bas dua tingkat kerana ia dilihat lebih spesifik berikutan sambutan pengguna yang semakin meningkat berbanding sebelumnya terutama pada waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Penyampaian Bonus Hari Raya kepada 126 kakitangan termasuk pegawai eksekutif ekspres Perdana melibatkan peruntukkan hampir RM130,000 di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 24 Julai 2013 |

Air 'tuak' popular pada bulan puasa

Daud Yusoff melayan pelanggan yang singgah membeli air nira di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU, 24 Julai: Nira kelapa atau lebih popular dengan panggilan 'tuak' dalam kalangan masyarakat negeri ini merupakan sejenis minuman yang dihasilkan daripada keratan mayang kelapa. Tuak kelapa merupakan sejenis minuman yang cukup popular dalam kalangan masyarakat negeri ini sebagai penghilang dahaga.

Maka, tidak hairanlah minuman yang mempunyai rasa enak ini sering menjadi pilihan utama masyarakat Islam di negeri ini sebagai sajian ketika berbuka puasa. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, minuman tradisi ini pasti mendapat permintaan tinggi daripada umat Islam untuk dijadikan minuman segar sewaktu berbuka puasa.

Selain rasanya yang enak, minuman berkenaan dipercayai dapat menghilangkan keletihan dan menyejukkan badan bagi meredakan penyakit seperti demam panas. Pengusaha minuman berkenaan, Daud Yusoff, 58, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Od berkata, kebiasaannya nira yang diambil daripada mayang kelapa akan dijadikan sebagai manisan atau gula nira kelapa.

Menurutnya, situasi tersebut berubah setiap kali tibanya bulan Ramadan, apabila nira yang diperoleh diproses untuk dijadikan sebagai minuman kerana mendapat permintaan pada bulan puasa. Katanya, setiap hari dia mampu menghasilkan 10 liter minuman tersebut daripada 13 batang pokok kelapa yang dipajak daripada penduduk kampung.

"Saya memungut nira daripada mayang kelapa ini dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang dengan setiap tuaian menghasilkan kira-kira lima liter.

"Bagaimanapun, cuaca turut memainkan peranan dalam jumlah pengeluaran nira. Jika cuaca hujan dan lembap, hasil nira meningkat, manakala hasil akan berkurangan apabila cuaca panas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Tambahnya, permintaan yang tinggi sepanjang Ramadan menyebabkan dia memilih untuk memberikan tumpuan kepada penghasilan nira berbanding aktiviti membuat manisan. Pok Odd memberitahu, sepanjang Ramadan dia mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan air nira yang diusahakannya itu.

"Dulu saya bekerja sebagai tukang rumah, namun disebabkan pendapatan tidak menentu, saya mengambil keputusan dan cuba menghasilkan nira bagi digunakan membuat manisan. 

"Namun disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan minuman berkenaan (air nira) dengan lebih serius.

"Alhamdulillah pendapatan yang saya peroleh mampu digunakan untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," ujarnya. Tambah beliau, bagi menambah keenakan air nira yang dihasilkannya, dia menggunakan aroma kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas plastik ketika proses tuaian dilakukan.

Pok Odd berkata, air nira yang dihasilkannya dijual secara borong dan runcit yang dimasukkan ke dalam botol plastik mengikut kehendak pelanggan. Menurut Pok Odd lagi, meskipun usianya telah mencecah 58 tahun, namun dia tetap bersemangat meneruskan pekerjaan menghasilkan air nira bagi meraih rezeki untuk menyara keluarga. 

Sementara itu, seorang penggemar minuman berkenaan, Che Rosli Che Ali, 40, berkata, setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia akan menjadikan air nira sebagai minuman utama ketika berbuka puasa. Che Rosli berpendapat, minuman berkenaan mampu membantu memulihkan kesihatan dalaman badan seperti sakit urat dan membekalkan tenaga setelah seharian berpuasa.

Kata lelaki itu, dia menggemari minuman itu disebabkan aroma dan rasanya yang enak. "Air nira cukup lazat diminum ketika sejuk. Rasanya sedikit masam bercampur manis mampu memberikan kepuasan kepada para penggemarnya.

"Tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan para penggemarnya yang tahu akan keenakan rasa minuman ini," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 25 Julai 2013 |

Kerajaan Negeri Kelantan nafi balak punca sungai cetek, jejas padi

KOTA BHARU, 24 Julai: Kerajaan Negeri Kelantan menafikan aktiviti pembalakan di Hulu Kelantan menyebabkan Sungai Kelantan cetek dan menjadi punca kepada pengurangan pengeluaran padi di negeri ini sehingga mendatangkan kerugian kepada petani.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebaliknya percaya banyak faktor lain menjadi punca kepada perkara itu dan mahukan kajian dibuat untuk mencari punca utama kepada masalah tersebut. Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan juga telah menghentikan semua aktiviti pembalakan tanpa kebenaran terutama di kawasan hutan simpan dan tadahan hujan.

"Saya rasa tidak adil kalau kita kata pembalakan, sebab pembalakan yang diluluskan adalah berasas iaitu sesuatu kawasan yang baik bukannya kawasan tadahan atau hutan simpan.

"Kita perlu buat kajian kerana pengurangan hasil padi ini bukan sahaja bergantung kepada kualiti air tetapi mungkin musim pertanian dan faktor-faktor lain seperti penyakit," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pengeluaran padi berkurang kerana paras air sungai cetek yang berpunca daripada pembalakan di hulu mengakibatkan mendapan lumpur di rumah pam milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Ismail Sabri berkata, bantuan berjuta ringgit yang disalurkan Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah pengairan tidak akan berjaya sekiranya kerajaan negeri masih bersikap lepas tangan dalam menangani aktiviti tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Mesyuarat Exco bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Kelantan (MPEK) yang berperanan memberi cadangan dan idea bagi membantu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri dari semasa ke semasa.

Katanya, beliau akan mengetuai MPEK manakala ahli-ahlinya terdiri daripada golongan profesional dalam bidang ekonomi serta ahli-ahli korporat yang telah berjaya."Antara dua pemimpin akademik yang disenaraikan adalah daripada Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya iaitu Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail dan Prof. Dr. Mohd. Said Zainol dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM).

"Pemilihan ini berdasarkan kepada bidang masing-masing yang mengambil kira pelbagai aspek kerana harapan kerajaan dengan penubuhan ini dapat membantu memberi pandangan ketiga khususnya dalam bidang ekonomi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | Terbitan 25 Julai 2013 |

Rabu, 24 Julai 2013

MB nafi Kelantan lebih mundur


KOTA BHARU, 24 Julai: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) menepis dakwaan yang menunjukkan negeri ini kelihatan lebih mundur daripada negeri-negeri jiran yang lain.

Kenyataan tersebut dinyatakan beliau dalam laman sosialnya semalam dan mendakwa ulasan salah seorang profesor di dalam sebuah rancangan televisyen swasta kelmarin adalah tidak benar.

“Profesor tersebut membuat perbandingan di antara Besut dan Pasir Puteh yang mana katanya pengundi di Kuala Besut tentu dapat melihat dengan jelas bagaimana Pasir Puteh di Kelantan jauh lebih terkebelakang berbanding Besut di Terengganu.

Saya melihat ini perbandingan yang kurang tepat dan tidak adil kerana Kelantan dinafikan hak sekian lama ke atas royalti minyak berbanding Terengganu yang diberikan royalti minyak.

“Jika dilihat dengan mata zahir sekalipun, dapat disaksikan bagaimana Tok Bali di Pasir Puteh sedang pesat membangun dengan pelabuhan antarabangsa yang sedang dibina berbanding Besut yang jauh ketinggalan dari sudut ini,” katanya.

Ahmad Yakob yang juga Adun Pasir Pekan turut mempersoalkan adakah profesor tersebut tahu bahawa pelabuhan di Tok Bali, Semerak dan Pasir Puteh yang sedang dibina dengan keluasan 1,208 ekar itu merupakan salah satu projek yang menjadi pemangkin kepada pembangunan di Tok Bali khasnya dan di Pasir Puteh.

Beliau berkata, projek yang mula dibina pada tahun 2011 itu dijangka siap pada tahun 2020 dengan jumlah kos dianggarkan melebih RM3 bilion.

“Tahukah beliau bahawa syarikat Bumiputera milik rakyat Kelantan iaitu Eastcoast Terminal Sdn Bhd atau ECT yang membina dan mengurus operasi “Portokbali Malaysia” satu-satunya pelabuhan kargo dan “supply base” di negeri Kelantan pada masa ini dan telah mendapat pengiktirafan Piawaian ISO 9001 : 2008.

“Penganugerahan sijil ISO ini juga mengesahkan bahawa Operasi Pelabuhan Portokbali Malaysia adalah mematuhi piawaian antarabangsa, dengan kata lain mutu pengurusan Portokbali Malaysia adalah setanding dengan pelabuhan-pelabuhan lain di Malaysia khasnya dan dunia amnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Julai 2013 |

Ponteng untuk minta sedekah

Md Nor (kanan) berbual dengan kanak-kanak terbabit yang ditinggalkan oleh ibu bapanya di hadapan masjid Muhammadi sejak seminggu lalu dengan menjalankan aktiviti meminta sedekah
KOTA BHARU, 24 Julai: Dua beradik terpaksa ponteng sekolah sejak seminggu lalu, ekoran terpaksa menjaga nenek mereka yang uzur dan berkerusi roda memandangkan ibu bapa mereka keluar berniaga di bazar Ramadan.

Keadaan bertambah perit, apabila kedua-duanya bukan sahaja perlu menjaga nenek mereka, malah terpaksa meminta sedekah di hadapan Masjid Muhammadi, bagi mendapatkan makanan untuk berbuka puasa.

Kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai, Muhammad, 9, berkata, ibu bapanya yang berasal dari Bachok meninggalkan dia dan adik perempuannya yang berusia lapan tahun serta neneknya yang uzur di pekarangan masjid pada setiap hari sejak seminggu lalu pada jam 9 pagi dan akan mengambil mereka semula pada jam 8 malam selepas selesai berniaga di Bazar Ramadan Pasir Tumboh.

“Mula-mula memang saya takut juga ditinggalkan bersama adik dan nenek di kawasan ini, namun selepas hampir seminggu saya sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Kami terpaksa, kerana tiada orang hendak uruskan keadaan nenek di rumah, sebelum ini ibu yang jaga nenek. Tapi sejak bulan puasa, ibu perlu keluar menyara kami, jadi kami ditinggalkan di hadapan masjid ini dan hanya dengan cara inilah kami dapat wang dari simpati orang ramai,” katanya.

Kanak-kanak terbabit ditemui dalam Ops bersepadu Ramadan Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sekitar Kota Bharu semalam. Turut serta dalam Ops terbabit, Pengarah JKM negeri, Md Noor Chik.

Dalam operasi berkenaan, dua pengemis seorang warga tempatan dan seorang lagi warga Kemboja, turut ditahan mengemis di sekitar bazar Ramadan di Kubang Kerian.

Menurutnya, warga Kemoja itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan manakala warga tempatan dihantar ke rumah Sri Kenangan Pengkalan Chepa untuk ditempatkan di rumah terbabit sebagai penempatan sementara.

Mengenai kes dua kanak-kanak itu, Md Noor berkata, JKM akan melakukan tindakan susulan berhubung perkara isu itu dan akan merujuk kepada pegawai JKM di Bachok untuk tindakan selanjutnya.

“Ini bagi mengetahui status keluarga kanak-kanak itu dan jika mereka masih tidak terima bantuan, kita akan usulkan bantuan  mengikut kesesuaian latar belakang mereka.

“Sepatutnya ibu bapa mereka tidak melakukan tindakan dengan meninggalkan anak-anak seperti itu kerana boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atas kecuaian mereka itu kerana mengabaikan pendidikan kanak-kanak terbabit yang masih bersekolah," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Julai 2013 | 

Selasa, 23 Julai 2013

Firefly tambah penerbangan ke KB sepanjang Ramadhan


KUALA LUMPUR, 23 Julai: FireFly Sdn Bhd akan menambah penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan, sebanyak dua kali sehari bagi menampung permintaan yang tinggi sepanjang bulan Ramadhan.
    
"Penerbangan tambahan dari hab pusat, Subang Sky Park akan ditambah untuk penerbangan mulai 25 Julai hingga 28 Julai dan ia telah ada dalam sistem kami untuk pembelian," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Ignatius Ong dalam satu kenyataan hari ini.
    
Beliau berkata yang para penumpang Firefly akan menikmati elaun bagasi yang sudah didaftar masuk 20 kg, hidangan dalam penerbangan percuma serta peluang untuk mengakru dan menebus mata Enrich.
    
Sementara itu, Ong juga berkata yang terdapat juga penerbangan tambahan ke Pulau Pinang, Pekanbaru, Koh Samui dan Kota Baharu dan 2 - 17 Ogos dan tiket-tiket kini telah tersedia untuk pembelian.
    
Firefly, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines System, pada masa ini mengendalikan rangkaian 12 ATR 72-500 dan 1 ATR 72-600 turboprop dari Pulau Pinang dan Subang, menghubungkan destinasi sekunder dalam lingkungan Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia Malaysia-Thailand.

Sumber: BERNAMA | 23 Julai 2013 |

Makmal Kardiologi Invasif akan dibina di Hospital Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Julai: Kementerian Kesihatan meluluskan pembinaan makmal Kardiologi Invasif dengan peruntukan lebih RM10 juta untuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata makmal itu yang akan dibina tidak lama lagi dan dijangka siap pertengahan tahun depan, akan membuat kajian kes pesakit jantung secara lengkap meliputi pemeriksaan, siasatan dan pembedahan.

Sebelum ini, di peringkat siasatan, seseorang pesakit jantung perlu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, kerana kemudahan itu tidak terdapat di HRPZII, katanya kepada pemberita selepas melawat hospital itu di sini Selasa.

Dr Subramaniam berkata HRPZII melakukan pembedahan terhadap 100 orang pesakit jantung setahun dan dengan pembinaan makmal itu tempoh menunggu bagi seorang pesakit melakukan pembedahan dapat dikurangkan dari satu tahun kepada enam atau lapan bulan.

Beliau turut meluluskan pembelian alat Fluoroscopy bernilai RM1.5 juta bagi meningkatkan sistem pemeriksaan organ dalaman pesakit seperti saluran usus dan pembuluh darah, di hospital berkenaan.

Katanya pihak kementerian mempunyai perancangan untuk menggantikan bangunan wad lama kepada bangunan baharu secara berperingkat supaya memberi lebih keselesaan kepada pesakit dan warga kerja hospital itu.

Ditanya keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yan memutuskan shisha haram bagi umat Islam, Dr Subramaniam berkata kementerian itu, melalui sebuah jawatankuasa khas sedang mengumpul maklumat berkaitan shisha dari segi perubatan dan kesihatan.

"Mungkin dalam tiga atau empat minggu ini, mereka akan bentang maklumat tersebut pada saya, selepas itu kami akan membuat keputusan berasaskan perubatan dan kesihatan, kemudian akan dikuatkuasakan," katanya.

Pada 19 Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata umat Islam dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan itu serta sebarang aktiviti yang berkaitan dengannya.

Sumber: BERNAMA | 23 Julai 2013 |