Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 27 November 2017

Kuantan belum bersedia terima status bandar raya

Bandar Kuantan, ibu negeri Pahang Darul Makmur belum bersedia untuk menerima status sebagai sebuah bandar raya.
KUANTAN: Kerajaan negeri belum bersedia menjadikan Kuantan sebagai bandar raya, walaupun sudah memenuhi beberapa syarat ditetapkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya perlu mengambil kira kesan sampingan kepada penduduk jika menaik taraf bandar Kuantan sebagai bandar raya.

"Kalau nak kira, Kuantan ini sudah layak menjadi bandar raya dan sudah lama sepatutnya (terima status bandar raya), tetapi saya fikir jika naik taraf jadi bandar raya, banyak kesan lain timbul seperti kadar cukai pintu akan naik, longkang dan jalan pun perlu diselenggara dengan lebih baik berbanding sekarang.

"Saya pun sudah menyembah maklum kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan yakinkan rakan-rakan (ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri) bahawa bukan masanya lagi Kuantan dinaik taraf.... kalau nak naik taraf (daripada segi syarat) esok pun boleh," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) mengenai usaha dijalankan kerajaan negeri, sama ada membuat kajian berkaitan kos sara hidup yang perlu dihadapi penduduk jika Kuantan dinaik taraf sebagai bandar raya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kriteria sebuah bandar raya adalah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) harus meliputi kawasan pentadbiran sesebuah negeri.

"Selain itu, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai jumlah penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang dan mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang kukuh dengan hasil tahunan tidak kurang daripada RM100 juta selain mampu mengimbangkan perbelanjaan," katanya ketika menjawab soalan Fong Koong Fuee (BN-Cheka).

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 27 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan