KOTA BHARU: Seramai 2,256 pengikrar baharu penderma organ dicatat di negeri ini sejak awal tahun ini hingga Oktober lepas.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Norhana Mohamed Fadzil berkata jumlah itu meningkat lebih 96 peratus berbanding jumlah keseluruhan pengikrar tahun lalu iaitu 1,171 orang.
"Berdasarkan perkembangan positif ini, kita yakin sasaran 3,000 pengikrar baharu akan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini berikutan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita pada Program Kempen dan Taklimat Kesedaran Pendermaan Organ di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.
Beliau berkata masyarakat semakin sedar kepentingan pendermaan organ malah pada hari ini sahaja lebih 50 kakitangan HUSM telah mengisi borang ikrar tersebut.
Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM Dr Nik Min Ahmad selain 200 kakitangan HUSM.
Pada program itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyampaikan ceramah 'Derma Organ Dari Pandangan Islam' manakala Pengerusi Pasukan Perolehan Organ dan Tisu (TOP TEAM) negeri Dr Azhar Mohamed pula menyampaikan taklimat 'Pengenalan Pendermaan Organ'.
Sementara itu, Dr Norhana yang juga penyelaras program berkata jumlah keseluruhan pengikrar di negeri ini sejak 1997 hingga Oktober lalu adalah seramai 10,570 orang. Katanya ia hasil kempen berterusan melalui siri jelajah dan pameran sama ada di tempat awam seperti pasar raya mahupun jabatan kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Sumber: Bernama | 27 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan