Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 20 November 2017

UMNO Pasir Mas tumpu projek pertanian tingkatkan pendapatan rakyat

PASIR MAS: Sebanyak 17 peserta projek pemulihan tanah terbiar di kawasan seluas 12 hektar di Kampung Slow Kulim, Bunut Susu di sini kini boleh senyum lebar dengan hasil tanaman yang mereka usahakan di kawasan itu.

Tanaman tembikai jenis mas melon, jagung, sayur-sayuran dan labu menyumbang pendapatan antara RM1,800 dan RM3,000 sebulan kepada setiap peserta sejak mereka terbabit dalam projek berkenaan pada 2007.

Ketua kumpulan petani berkenaan, Abdullah Yacob, 67, berkata inisiatif itu mengeluarkan mas melon bernilai RM150,000 semusim diikuti jagung sebanyak RM40,000 dan sayur-sayuran RM30,000.

"Siapa sangka kawasan yang dahulunya ditinggalkan terbiar kerana tanaman padi tidak menjadi akibat kekurangan bekalan air, setelah diusahakan secara berkelompok dalam tempoh 10 tahun, ia mampu menjana pendapatan buat kami," katanya kepada Bernama ketika meninjau projek tersebut.

Sebelum wujudnya projek inisiatif UMNO Bahagian Pasir Mas dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan bagi meningkatkan pendapatan rakyat, pendapatan petani berkenaan tidak menentu.

Masalah bekalan air yang menjadi kekangan sebelum ini telah diatasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membina telaga tiub untuk mengairi kawasan pertanian itu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Jabatan Pertanian turut memberikan input pertanian dan khidmat nasihat kepada petani berkenaan dalam memastikan tanaman yang diusahakan memberi hasil maksimum.

"Sekarang kami sudah boleh berdikari dengan membeli sendiri bahan pertanian yang diperlukan seperti baja, benih, racun serangga selain menanggung kos membajak," kata seorang lagi peserta, Mohd Johari Mohd Salleh, 47.

Sementara itu, lulusan diploma fisioterapi daripada sebuah kolej swasta, Sheda Mohamad, 27, lebih gembira menyambung perusahaan kecil-kecilan membuat kerepek tradisional yang diusahakan oleh keluarganya selepas melihat pelbagai tawaran meningkatkan pendapatan yang ditonjolkan oleh UMNO Bahagian Pasir Mas.

Melalui Perusahaan Zaharah Getas Maju, wanita itu mengusahakan pelbagai jenis kerepek berasaskan tepung gandum seperti gegetas (akar nyior), kerepek tiram, kerepek lidah buaya, kerepek bawang, kerepek bilis dan buah rotan.

"Kami dapat menghasilkan 1,000 peket kerepek sehari yang dijual pada harga bengkel RM1 sepeket, dan kami tidak menang tangan kerana permintaan sentiasa meningkat," katanya ketika ditemui di Kampung Atas Pinggir, Tendong di sini.

Dengan anggaran pendapatan RM5,000 sebulan, anak muda ini bertekad membesarkan lagi perusahaannya setelah mendapat bantuan modal dan peralatan daripada Kada selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakan-rakan sekampungnya.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Datuk Hanafi Mamat, projek pertanian dan industri asas tani merupakan tumpuan pihaknya dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk yang berpendapatan rendah.

Hanafi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Mas, berkata terdapat beberapa lagi projek pertanian yang memberi impak tinggi kepada peserta dilaksanakan di kawasan Parlimen tersebut termasuk projek pemeliharaan kambing tenusu dan lembu daging.

"Kita tidak mengira fahaman politik dalam memilih peserta asalkan mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan mahu untuk mengubah kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata pihaknya bersama agensi kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat yang masih ramai dalam kategori golongan miskin di negeri ini.

Sumber: Bernama | 20 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan