Parit yang digali di kawasan rizab sungai menjejaskan pagar sekolah dan menyebabkan banjir setiap kali hujan di Kampung Peralla.
TANAH MERAH: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Peralla, di sini, kecewa dengan tindakan penduduk menceroboh tanah rizab sungai di kampung itu.

Pengerusinya, Zamzuri Ariffin berkata, tindakan meratakan tanah dan menggali parit di kawasan rizab sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Peralla itu dipercayai bagi tujuan pembinaan rumah.

Katanya, selain menjejaskan struktur pagar sekolah, tindakan itu turut menyebabkan banjir di kawasan sekitar apabila air dari parit terbabit melimpah setiap kali hujan.

“Saya bertegas supaya penduduk terbabit batalkan hasrat untuk membina rumah di atas laluan parit ini kerana ia menyusahkan penduduk lain, selain kedudukan tanah di kawasan rizab sungai,” katanya kepada Sinar Harian.

Zamzuri berkata, laporan berhubung masalah itu sudah dibuat penduduk kampung kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) daerah, disusuli perbincangan agensi kerajaan berkenaan dengan JKKKP Mukim Peralla.

Menurutnya, usaha memohon peruntukan daripada kerajaan bagi membersihkan dan mendalamkan parit berkenaan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan terbabit juga sudah dibuat.

“Saya harap agensi kerajaan berkenaan segera menyalurkan bantuan untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 22 Februari 2014