PASIR MAS: Ribuan penduduk di Rantau Panjang di sini dalam keresahan kerana bimbang banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun lepas, berulang kembali tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jejawi/Banggol Nyiur, Abdul Aziz Che Kob berkata ini berikutan fenomena banjir 'termenung' atau limpahan air Sungai Golok yang berlaku ketika ini agak luar biasa berbanding sebelum ini.
Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan banjir termenung melanda Mukim Bukit Lata sekurang-kurangnya tiga kali pada setiap hujung tahun, namun kali ini disifatkannya sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Selalunya jika banjir termenung berlaku, hanya jalan kampung yang dinaiki air, namun kali ini air naik sehingga 0.6 meter walaupun ia hanya banjir kali pertama.
"Kami risau jika berlaku pertembungan antara air Sungai Golok dan air Sungai Batu Hampar akan menyebabkan kejadian banjir besar melanda Mukim Bukit Lata," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Setakat ini, banjir melanda enam kampung iaitu Lanchang, Jejawi, Binjai, Bonggor, Banggol Nyiur dan Kelewar dalam Mukim Bukit Lata yang dinaiki air kira-kira 2 meter sejak Jumaat lepas.
Banjir berkenaan turut menyebabkan kira-kira 900 penduduk dalam mukim itu terputus hubungan selepas jalan kampung yang menghubungkan mereka dengan jalan utama terputus sejak tiga hari lepas.
Abdul Aziz berkata bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dari enam kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kerana paras air semakin surut berikutan keadaan cuaca yang panas sejak petang semalam.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Razali Che Ngah, 34, berkata beliau masih tidak mahu berpindah kerana keadaan masih selamat.
"Rumah penduduk di sini kebanyakannya dua tingkat. Jika banjir berlaku kami selalunya akan tinggal di tingkat atas rumah. Bagaimanapun kami akan akur jika arahan berpindah dikeluarkan oleh agensi keselamatan," katanya.
Menurut portal rasmi kerajaan Kelantan di http://ebanjir.kelantan.gov.my/, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang pada pukul 1 petang tadi melebihi paras bahaya 9 meter iaitu 9.64 meter.
Sumber: Bernama | 1 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan