KOTA BHARU: Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini akan diberi peluang bekerja di Hotel Grand Riverview (GRV) di sini, melalui program latihan pekerjaan yang akan bermula tahun depan.
Pengurus Besarnya Vincent Chua berkata program berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan dalam tempoh enam bulan.
"Pihak kami akan memilih antara 10 dan 15 OKU untuk mengikuti latihan merangkumi pelbagai tugasan di hotel yang bersesuaian dengan kemampuan mereka termasuk penyeliaan bilik dan pengurusan dapur.
"Sekiranya dalam tempoh itu mereka menunjukkan pencapaian baik, kita akan ambil mereka untuk menjadi staf GRV," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian GRV Mini Disney Carnival 2015 Bersama Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini, Selasa.
Vincent berkata program latihan pekerjaan itu diharap dapat memberi manfaat kepada golongan OKU mendapatkan pekerjaan.
Sebanyak 40 OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 35 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Biak, Kuala Krai diraikan dalam majlis berkenaan.
Karnival yang diadakan selama 16 hari itu menyediakan pelbagai aktiviti 'dalam bangunan' untuk kanak-kanak sempena musim cuti sekolah termasuk pertandingan melukis dan mini pawagam selain berpeluang dihiburkan pelbagai maskot karton Disney.
Sementara itu, guru PDK Kem Desa Pahlawan, Wan Munaida Dollah berkata peluang yang diberikan kepada OKU menyertai karnival tersebut amat bermakna buat golongan itu.
"Ia bukan hanya dapat menghiburkan mereka tetapi juga merangsang perkembangan minda dan meluaskan skop pengalaman mereka," katanya.
Sumber: Bernama | 15 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan