KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memberi tumpuan di beberapa kawasan di Tumpat terutama berdekatan Sungai Golok, berikutan air dari kawasan Rantau Panjang di Pasir Mas mula memasuki jajahan itu Rabu.
Pengarahnya Azmi Osman berkata walaupun terdapat beberapa kampung di Rantau Panjang masih digenangi air, kebanyakan kawasan sudah mulai surut.
"Hari ini air secara perlahan mula bergerak ke Tumpat menuju ke Kampung Bendang Pak Yong dan kami melakukan penyelarasan anggota di Pengkalan Kubor termasuk penyediaan aset seperti bot sebagai langkah persediaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.
Mengulas lanjut, Azmi berkata pihaknya turut menerima bantuan dari 17 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu 35 anggota JBPM Pengkalan Kubor.
"Kita akan selaraskan prosedur operasi pada bila-bila masa jika berlaku banjir di Tumpat khususnya bagi kampung-kampung yang berada di sepanjang Sungai Golok terutama Kampung Bendang Pak Yong," katanya.
Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga, rondaan dan pemantauan masih diteruskan di Rantau Panjang terutama di kawasan rendah.
"Semua aset masih dikekalkan di Rantau Panjang sebagai persediaan kerana daripada ramalan Jabatan Meteorologi, hujan dijangka lebat pada Sabtu ini," katanya.
Beliau berkata sehingga kini, keadaan banjir di Kelantan masih terkawal dan tiada sebarang pemindahan dilakukan.
Dalam pada itu, Azmi berkata anggota JBPM di jajahan yang tidak terjejas banjir seperti Pasir Puteh, Bachok dan Kota Baharu akan dikerah untuk membantu kawasan terjejas bencana itu mengikut keperluan semasa.
"Kita nasihatkan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir seperti di sepanjang Sungai Golok sentiasa bersiap sedia menghadapi banjir dengan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.
Setakat ini, banjir melanda enam kampung iaitu Lanchang, Jejawi, Binjai, Bonggor, Banggol Nyiur dan Kelewar di Rantau Panjang yang dinaiki air antara 0.5 meter dan 2 meter sejak Jumaat lepas.
Banjir berkenaan turut menyebabkan kira-kira 900 penduduk dalam Mukim Bukit Lata terputus hubungan selepas jalan kampung yang menghubungkan mereka dengan jalan utama ditenggelami air.
Menurut portal rasmi kerajaan Kelantan, http://ebanjir.kelantan.gov.my/, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang pada 4 petang tadi masih melebihi paras bahaya 9 meter iaitu 9.18 meter.
Sumber: Bernama | 2 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan