Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 Disember 2015

Tukang kasut tidak mampu ganti kasut pelanggan

Api marak membakar dua kios perniagaan dalam masa beberapa minit. Gambar kanan: Anggota bomba memadam sisa kebakaran. Gambar kecil: Zuwira.
BACHOK: Dua kios perniagaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 10 malam semalam, di depan bangunan bank di Bachok.

Ia melibatkan kios menjual akhbar dan sebuah lagi bengkel membaiki kasut, milik penduduk tempatan yang diusahakan sejak berbelas tahun lalu.

Pemilik bengkel kasut terbabit, Zuwira Zainudin, 41, berkata, dia hanya mengetahui kebakaran itu selepas dihubungi adiknya pada jam 10.30 malam.

Katanya, akibat kebakaran itu, dia kerugian lebih RM8,000 termasuk peralatan membaiki kasut dan kasut pelanggannya.

“Malam tadi, saya keluar ke bandar Kota Bharu untuk beli peralatan baiki kasut. Tak sempat beli apa- apa, kami terus pulang ke Bachok selepas dihubungi adik yang maklumkan kejadian tersebut.

"Sampai saja di lokasi, saya tengok semuanya dah musnah, api pun dah padam. Semua kasut pelanggan hangus, nak ganti pun saya tak mampu. Saya minta maaf sangat-sangat atas kejadian ini.

“Banyak kasut yang dihantar pelanggan ke bengkel kami, sementelah cuti sekolah begini. Kasut yang masih baharu pun ada lima enam pasang. Pelanggan kami bukan sahaja dari Bachok tetapi juga dari Tok Bali dan anak perantau yang pulang dari luar termasuk Pahang dan Kedah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hasil usaha 25 tahun musnah sekelip mata

Zuwira yang juga bapa enam anak itu berkata, ujian kebakaran itu amat memberi tekanan kepada keluarganya yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan membaiki kasut.

Menurutnya, dia terlibat dalam perniagaan membaiki kasut itu sejak 25 tahun lalu bermula di Kuala Lumpur dan pulang berniaga di Bachok bersama isterinya, Norhasimah Rabidin, 43, sejak 11 tahun lalu.

“Saya baiki kasut sejak zaman bujang lagi iaitu 25 tahun lalu bermula di Kuala Lumpur. Hasil membaiki kasut itulah saya gunakan untuk menyara keluarga termasuk enam anak berusia antara 10 hingga 17 tahun yang masih bersekolah.

“Saya sendiri pun tak tahu bagaimana nak mulakan perniagaan semula selepas semua barang baiki kasut dah tak ada. Semua barang tersebut saya bawa pulang dari Kuala Lumpur ketika saya berniaga di sana,” katanya yang telah melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Zuwira mendakwa, kebakaran itu dikatakan berpunca daripada seorang lelaki kurang siuman yang bertindak membakar tempat itu selepas gagal mendapatkan gam daripada bengkel kasutnya.

Suspek bagaimanapun telah ditangkap sejurus selepas kejadian.

Zuwira berkata, dia amat berharap untuk mendapatkan bantuan bagi membina kembali bengkel kasutnya dan peralatan yang diperlukan.

Menurutnya, dia tidak mampu mencari dana sendirian berikutan pendapatannya selama ini tidak seberapa dan dia sekeluarga hanya menumpang tinggal di rumah ibu mentuanya di Pulau Belongan.

“Sekolah pun nak buka tak lama lagi. Saya tak tahu mana nak tuju. Enam anak kami masih bersekolah dan saya amat harapkan bantuan untuk membolehkan saya berniaga kembali, sama ada dari segi bantuan bina bengkel baharu atau peralatan membaiki kasut,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh menghubungi Zuwira menerusi talian 0113 9810020.

Nampak bomba masuk ke lorong tempat niaga

Sementara itu, pemilik gerai akhbar yang terletak bersebelahan, Saihan Ismail, 33, berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam selepas melihat jentera bomba memasuki kawasan terbabit.

“Kebetulan malam tadi saya keluar nak ke kedai. Masa tu saya tengok ada jentera bomba masuk ke lorong tempat saya berniaga. Saya pergi tengok, rupanya kedai saya yang terbakar.

"Saya masih terkejut dan belum fikirkan apa tindakan perlu dilakukan seterusnya. Saya belum lagi hubungi pejabat akhbar dan majalah yang berkaitan untuk maklumkan mengenai kerugian dialami. Semua stok majalah dan akhbar bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.

Saihan berkata, perniagaan itu diwarisi daripada arwah bapanya, Ismail Yusof yang beroperasi lebih 30 tahun.

Kini katanya, dia perlu membina kios baharu di situ untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membekal bahan bacaan harian kepada penduduk setempat.

“Dengan kerugian sebanyak itu, saya juga perlukan bantuan modal pusingan dan tak tahu bagaimana nak atasi kerugian stok majalah terbabit.

“Saya harap ada pihak yang akan bantu dapatkan kios baharu dan sedikit modal pusingan bagi membolehkan bisnes ini beroperasi semula, ”katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Bachok.

Ketua Balai Bomba Daerah Bachok, Muhammad Khairu Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 10.27 malam dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Abd Razak Abd Rahman bersama tujuh anggota, menggunakan dua jentera.

“Ketika bomba tiba, 90 peratus gerai terlibat musnah. Kebakaran dapat dikawal jam 10.35 malam dan padam sepenuhnya jam 10.46 malam.

"Tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan