Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 27 Disember 2015

RMK11: Lebih RM330 juta bangun prasarana luar bandar di Kelantan

MACHANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukan lebih RM330 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan prasarana luar bandar di Kelantan.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata setakat ini, tujuh projek prasarana akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermula tahun depan.

"Antara projek terbesar ialah membina jambatan kedua merentangi Sungai Kelantan dari Kampung Pulai Raya, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah dengan kos RM60 juta.

"Kerja reka bentuk termasuk pengambilan tanah bagi pembinaan jambatan itu akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018 atau awal 2019," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Pak Gombak, Joh di sini Khamis.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan 200 kotak makanan dan 200 beg sekolah bernilai RM25,000 kepada penduduk miskin di kampung itu hasil sumbangan Syarikat Muafakat Armada Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Anggota Parlimen Machang berkata pembinaan jambatan itu akan memendekkan perjalanan Tanah Merah-Machang-Gua Musang dan dapat mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

"Ramai perantau sebelum ini terpaksa mengambil masa lebih 10 jam berbanding perjalanan biasa untuk sampai ke destinasi masing-masing terutama pada Hari Raya Aidilfitri apabila kenderaan mereka terkandas di Jambatan Tanah Merah," katanya.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya juga meluluskan peruntukan masing-masing berjumlah RM10 juta untuk membina kemudahan awam termasuk madrasah, pemulihan jalan kampung dan bekalan elektrik bagi kemudahan penduduk luar bandar bermula tahun depan.

"Menerusi pelbagai projek yang kita akan laksanakan ini, diharap tiada lagi tuduhan tidak berasas daripada pihak tidak bertanggungjawab yang sering membuat tohmahan kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kelantan," katanya.

Sumber: Bernama | 24 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan