Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 Disember 2015

Dadah: Peniaga telefon dijel 12 tahun, 10 sebat

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah dan akan dihantar menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa.
KOTA BHARU: Seorang peniaga kedai telefon terselamat dari hukuman mati, namun tetap dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini kerana kesalahan memiliki dadah.

Tertuduh, Mohd Adib Awang, 28, dihukum selepas mengaku pada tuduhan pilihan memiliki 57.29 gram dadah jenis metamphetamine di tepi jalan belakang kedai lama Jelawat, Bachok, pada jam 1 petang, 13 April lalu.

Terdahulu, peguam Datuk Syukri Mohamed memohon hukuman anak guamnya diringankan dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang sudah menjimatkan kos serta masa mahkamah.

Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan usianya masih muda serta mempunyai masa depan yang panjang.

“Tertuduh berpendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Dia belum berkahwin, tamat tingkatan lima, namun tidak menduduki SPM. Mempunyai lapan adik beradi dan dua daripadanya menuntut di universiti serta seorangnya menuntut di kolej.

“Tertuduh sudah kematian bapa dan dia memberi bantuan kewangan kepada adik-adiknya yang sedang belajar serta menanggung ibu yang berusia 63 tahun,” katanya.

Tertuduh ditahan berhubung maklumat dadah ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lokasi berkenaan. Tertuduh cuba melarikan diri dengan mengundurkan kereta, namun terhalang dengan kereta pasukan.

Pemeriksaan lanjut menjumpai beg plastik hitam mengandungi dadah yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan. Keseluruhan pil dadah berwarna merah berjumlah 5,346 dan 54 pil dadah berwarna hijau.

Tertuduh ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar sebelum dakwaan itu dipinda pada pemilikan dadah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nooriah Osman di hadapan Hakim, Ahmad Bache.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan