KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini bersetuju mengetepikan levi hiburan sebanyak RM517,974.10 yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 2014 dan 2015.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata ia antara usaha kerajaan negeri untuk pembangunan sukan terutama bola sepak di negeri ini.
"Kita amat maklum dengan kekangan kewangan yang ditanggung KAFA ketika ini dan kita cuba cari alternatif lain (untuk bantu KAFA).
"Cuma daripada sudut kita nak beri duit tunai, buat masa ini kita masih lagi belum buat keputusan muktamad," katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini Rabu.
KAFA sebelum ini dilaporkan bergelut dengan kekangan kewangan sehingga menyebabkan persatuan itu gagal membayar gaji kakitangan pengurusan serta pemainnya.
Abdul Fattah berkata surat rasmi berhubung keputusan mengetepikan levi hiburan itu akan dihantar kepada KAFA minggu hadapan.
Sumber: Bernama | 23 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan