KOTA BHARU: Sebanyak 10 rumah penduduk rosak teruk akibat ombak besar Laut China Selatan yang membadai Kampung Pulau Pantai Kundur di sini, sejak Sabtu lepas.
Tinjuan Bernama di perkampungan nelayan itu mendapati lima rumah rosak tertimbus pasir yang dibawa ombak besar berkenaan.
Terdapat kira-kira lima rumah lagi berisiko rosak sekiranya ombak besar berlaku secara berterusan ketika air laut pasang pada musim tengkujuhnya ini.
Seorang penduduk Rohani Hassan, 51, berkata kejadian ombak besar itu berlaku pada waktu malam yang membawa bersama air laut dan pasir ke kampung tersebut.
"Jam lebih kurang 8 malam ombak besar datang merempuh dinding rumah kami sehingga air memasuki rumah setinggi paras lutut orang dewasa.
"Disebabkan kejadian itu, bahagian dapur dan beberapa peralatan seperti peti sejuk dan mesin basuh rosak akibat ditenggelami air laut dan terdapat barang lain tertimbus dalam pasir," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Rohani berkata kejadian itu sangat menakutkan beliau, suami dan tujuh anaknya kerana ombak yang datang sangat kuat menghentam rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai.
"Pada malam kejadian, kami anak beranak terpaksa tidur dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya ombak yang lebih besar membadai. Semalam (Isnin) ombak juga melanda kampung kami tetapi tidak seteruk pada Sabtu.
"Sepanjang saya tinggal di sini hampir 30 tahun, peristiwa ombak besar ini tidak pernah berlaku, kejadian Sabtu lalu lebih teruk daripada banjir besar yang berlaku akhir tahun lepas," katanya.
Seorang lagi penduduk Hanipah Umat, 53, berkata kejadian ombak besar itu ibarat tsunami bukan sahaja merosakkan rumah malah menyebabkan hakisan pantai.
"Kita berharap kerajaan, setidak-tidaknya membina benteng batu bagi menghalang kejadian ombak menghempap rumah kami kerana kami tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah," katanya.
Beliau berkata rata-rata penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai nelayan dan sayang untuk berpindah ke kawasan lain.
Beberapa penduduk lagi yang ditemui turut bimbang dengan kejadian itu dan meminta kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah itu daripada berterusan.
Sumber: Bernama | 1 Dis. 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan