Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 27 Disember 2015

Bekalan air terawat dari Terengganu beri nafas baharu pembangunan Tok Bali

PASIR PUTEH: Penyaluran bekalan air terawat dari Terengganu ke kawasan Semerak akan membantu mengembangkan pembangunan Bandar Perikanan Tok Bali di sini.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata masalah bekalan air yang berlarutan lebih 20 tahun itu dilihat membantutkan proses pembangunan bandar perikanan itu.

"Ketidakcukupan bekalan air menakutkan pelabur untuk melabur di Tok Bali walaupun ia berpotensi untuk membangun kerana air menjadi pengukur aras sesuatu pelaburan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menandatangani perjanjian pembelian air terawat secara pukal daripada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan Semerak dan Bukit Yong di sini.

Menerusi perjanjian itu, Satu akan membekalkan bekalan air terawat sebanyak 150,000 meter padu sebulan untuk kegunaan 1,200 akaun pengguna AKSB.

Zawawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak berharap bekalan air terawat dari Terengganu itu akan dapat melancarkan bekalan air ke kawasan Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Semerak, Datuk Mohd Jelani Jaafar berkata langkah AKSB itu akan dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi lebih 1,000 nelayan di kawasan ini.

Beliau berkata sebelum ini, tekanan air yang rendah menyebabkan nelayan terutama pengusaha bot laut dalam sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan mereka di laut.

Sumber: Bernama | 22 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan