Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 21 Disember 2015

Kebakaran: Kerajaan Pusat peruntuk RM90,000 bantu peniaga Pasar Pekan Selising

PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan segera berjumlah RM90,000 untuk membantu 45 peniaga yang hilang punca pendapatan selepas pasar di pekan Selising di sini, musnah dalam kebakaran Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata setiap peniaga terbabit mendapat RM2,000, dengan RM1,000 dibayar hari ini, manakala bakinya bulan depan.

"Sumbangan itu diberi kepada semua peniaga tanpa mengira fahaman politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada peniaga terbabit di sini, Isnin.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali.

Dalam kejadian 7 malam itu, peniaga terbabit hilang mata pencarian apabila barangan jualan mereka seperti barangan runcit, sayur-sayuran dan ikan tidak sempat diselamatkan.

Zawawi yang juga ADUN Semerak berkata sumbangan itu sebagai modal pusingan untuk mereka meneruskan perniagaan, selain membeli kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan membina semula bangunan pasar berkenaan untuk kemudahan peniaga dan masyarakat di kawasan tersebut.

Sementara itu, seorang peniaga Mat Fadil Yasok, 43, berkata beliau mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila kesemua barang jualannya termasuk 50 kampit beras tidak sempat diselamatkan.

Beliau yang menjalankan perniagaan di pasar itu lebih 30 tahun berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah terletak kira-kira 100 meter dari pasar itu, namun gagal menyelamatkan barangan.

"Sebaik diberitahu oleh jiran, saya terus ke situ tetapi api sedang marak tanpa dapat berbuat apa-apa," katanya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan ketika dihubungi berkata jumlah kerugian dalam kejadian itu dianggarkan lebih RM1.2 juta manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sumber: Bernama | 21 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan