Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 16 Disember 2015

Kerajaan Persekutuan siapkan jambatan di Dabong bernilai RM30 juta

KOTA BHARU: Sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Kandek dan Kampung Biak di Dabong, Kuala Krai bernilai RM30 juta kini siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan penduduk.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong Datuk Ramzi Ab Rahman berkata jambatan sepanjang 350 meter yang merintangi Sungai Galas itu memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kedua-dua tebing sungai berkenaan.

"Jambatan berkenaan dibina sejak dua tahun lepas di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW).

"Kita juga sedang menyiapkan jalan sepanjang 2.5 kilometer yang akan menghubungkan jambatan berkenaan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Biak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian GRV Mini Disney Carnival 2015 Bersama Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kelantan di sini, hari ini.

Ramzi yang juga Ketua UMNO bahagian Kuala Krai berkata dengan siapnya jambatan berkenaan, penduduk Kampung Biak tidak lagi perlu meninggalkan kenderaan mereka di Kampung Kandek.

"Sebelum ini pengangkutan utama yang menghubungkan Kampung Biak ke Kampung Kandek adalah menggunakan bot atau perahu dan ia menyebabkan penduduk tak boleh bawa pulang kenderaan ke rumah masing-masing.

"Ia juga akan memudahkan urusan guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Biak berulang-alik selain memudahkan penduduk mengeluarkan hasil tanaman ke bandar," katanya.

Sumber: Bernama | 15 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan