Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 3 Disember 2015

Polis Kelantan berkas tujuh individu serta rampas pil eramin 5 dan ubat batuk

KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merampas 900 pil dadah jenis Eramin 5 dan ubat batuk bernilai RM23,000 dalam tiga operasi berlainan di sekitar Kota Bharu, semalam.

Ketua JSJN Kelantan Supt Mit Emong berkata pihaknya turut menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di jajahan itu.

"Serbuan dilakukan Unit Pasukan Petugas Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bermula 11 pagi semalam hingga tengah malam tadi di Jalan Telipot, Jalan Wakaf Mek Zainab dan Jalan Bayam di sini," katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini, hari ini.

Mit berkata dalam serbuan pertama pada 11 pagi di sebuah rumah di Jalan Telipot, pihaknya menahan dua suspek berusia 44 dan 25 tahun dan hasil pemeriksaan menemui 13 bekas plastik berisi cecair keperangan, dipercayai ubat batuk (kodein) bernilai RM9,500.

"Dalam serbuan kedua di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab pula kita menahan empat suspek berusia antara 18 dan 29 tahun kerana memiliki 500 biji pil dipercayai dadah jenis Eramin 5 bernilai RM7,500.

"Selain itu, kita turut menyita sebuah motosikal dan kereta yang digunakan oleh suspek-suspek berkenaan," katanya.

Dalam serbuan ketiga di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bayam pula, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun selepas menemui 400 biji pil Eramin 5 di dalam kereta yang dinaiki suspek berkenaan.

"Pil berkenaan dianggarkan bernilai RM6,000 dan ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

"Ketujuh-tujuh suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Dis bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber: Bernama | 3 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan