Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 6 Disember 2015

Penduduk Orang Asli Lojing bimbang hakisan bukit ekoran pembukaan tanah pertanian tidak terkawal

GUA MUSANG: Lebih 100 keluarga penduduk Orang Asli di Kampung Sang Way, Lojing di sini, bimbang dengan keselamatan mereka berikutan kegiatan pembukaan tanah pertanian berhampiran perkampungan mereka.

Seorang penduduk, Ruden Angah, 43, berkata pembukaan tanah oleh beberapa syarikat swasta di kawasan bukit yang tidak terkawal dikesan sejak lima bulan lepas dan dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kejadian banjir lumpur apabila hujan lebat.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu melakukan pemantauan terhadap aktiviti pembukaan tanah pertanian baharu untuk tanaman sayur-sayuran di kawasan bukit berkenaan.

"Sungai Belatop berhampiran Kampung Sang Way ini juga boleh dikatakan setiap kali hujan lebat dipenuhi air berlumpur akibat daripada hakisan tanah bukit," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Lojing, Rashid Akoh pula mahu pihak berkuasa segera mengatasi masalah itu agar penduduk tidak terdedah kepada banjir lumpur.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri, Ab Aziz Yusof (BN-Galas) berkata pihaknya sudah beberapa kali menyuarakan kebimbangan penduduk itu kepada kerajaan Kelantan supaya menghentikan kegiatan pembukaan tanah pertanian di tanah tinggi tersebut.

"Bagaimanapun, kita mendapati tidak ada sebarang tindakan susulan dan sebaliknya semakin banyak syarikat mengambil kesempatan membuka tanah pertanian di bukit berhampiran kampung Orang Asli tersebut," katanya.

Sumber: Bernama | 6 Dis. 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan