KOTA BHARU: Sepuluh peserta berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan Lagu Loghat Kelantan anjuran Stesen Radio Kelantan FM yang akan diadakan di Auditorium Titian Murni Kelantan FM, Sabtu ini.
Pengarah Penyiaran Kelantan Noriani Mohd Idris berkata pertandingan itu yang akan bermula pada pukul 9 malam, juga boleh diikuti secara langsung menerusi Facebook dan siaran Kelantan FM.
Noriani turut melahirkan rasa puas hati dengan pertandingan yang julung kali diadakan ini kerana telah berjaya menarik minat golongan muda, dengan ada peserta yang baru berusia 16 tahun.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata juara pertandingan yang menggamit penyertaan lebih 300 orang peserta itu akan membawa pulang hadiah wang tunai berserta piala pusingan, baucar penginapan serta hadiah sampingan yang lain.
"Usaha pertandingan ini akan merintis jalan untuk memartabatkan lagu daerah di negeri ini yang memberi nilai tambah kepada program Kelantanfm yang merupakan medium yang diktiraf untuk memartabatkan semula lagu loghat Kelantan," katanya.
Sumber: Bernama | 30 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan