Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 November 2017

Limpahan projek berimpak tinggi di bawah RMK-11: Kelantan bakal berubah wajah

Bangunan Pusat Transaformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu, Kelantan merupakan salah satu projek di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan.
KOTA BHARU: Sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pentadbiran negara, Kelantan terus menerima layanan istimewa yang tidak pernah diberikan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum beliau.

Buktinya, dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, Ke­lantan mula melalui proses transformasi dalam pelbagai aspek menerusi limpahan projek infrastruktur berimpak tinggi yang dibawa masuk oleh Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahaya Mamat berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), sebanyak RM5.36 bilion diperuntukkan untuk me­laksanakan 715 projek pemba­ngunan di Kelantan.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), jumlah peruntukan diterima meningkat lebih dua kali ganda, iaitu RM12.91 bilion bagi membiayai 338 projek pembangunan di seluruh negeri.

Di bawah RMK-11, sebanyak 16 projek berimpak tinggi sedang dilaksanakan di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM2.81 bilion.

“Selain itu, terdapat tujuh lagi projek berimpak tinggi akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM1.18 bilion.

“Ini tidak termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini yang bernilai RM5 bilion daripada keseluruhan kos RM55 bilion bagi pembinaan landasan 70 ki­lometer dan lima buah stesen,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Yahaya memberitahu, antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan ialah Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Jalan Pintasan Pasir Mas, persimpang­an bertingkat lintasan kereta api Tanah Merah dan pemuliharaan Landasan Pantai Timur.

Turut dilaksanakan ialah pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli, Hospital Kuala Krai dan Bachok, Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong.

Tujuh lagi projek yang bakal bermula tahun depan adalah pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, jejambat bulatan Wakaf Bharu, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ketereh dan MRSM Tanah Merah serta jalan baharu di Tanah Merah,” katanya.

Beliau dalam pada itu me­negaskan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed me­rupakan individu yang berjasa besar kerana sentiasa berusaha membawa masuk pelbagai projek ke Kelantan dalam usaha memastikan rakyat tidak ketinggalan.

Berdasarkan sumbangan tersebut katanya, Ahli Parlimen Jeli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu layak digelar 'Bapa Pembangunan Kelantan’.

“Walaupun tidak menang da­lam pilihan raya, Barisan Nasio­nal (BN) tetap mengotakan janji dibuat dan ini sebenarnya adalah hasil permintaan Mustapa yang ingin melihat Kelantan maju sebagaimana nege­ri lain,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 31 Oktober 2017 | Terbitan 1 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan