Keadaan kompleks bazar pendaratan ikan Tok Bali yang lenggang tidak terurus menimbulkan tanda tanya orang ramai dan penduduk setempat di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. |
PASIR PUTEH: Penduduk di sekitar kawasan pendaratan ikan Tok Bali, di sini mempersoalkan fungsi kompleks bazar di situ yang dilihat terbiar sejak lebih lima tahun lalu.
Seorang penduduk, Khairuddin Abdullah, 44, berkata, bazar berkenaan yang dikatakan di bawah Perbadanan Kerajaan Negeri Kelantan (PKINK) suatu ketika dulu pernah diurus dengan baik.
Bagaimanapun katanya, bazar berkenaan kini terbiar selepas kebanyakan lot tidak lagi disewa kerana dikatakan tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Lokasi itu kini sering diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam. Malah ia menjadi lokasi persinggahan penagih dan nelayan asing,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Seorang pengunjung, Mohammed Ibrahim Mohd. Lazim, 35, pula mendakwa, keadaan tandas awam dan surau juga tidak terurus sehingga tidak boleh dimanfaatkan orang ramai.
“Hasil pengamatan saya mendapati surau dalam keadaan kotor dan tandas dalam keadaan yang tidak terurus. Kedua-dua bangunan ini tidak mempunyai bekalan air.
“Adalah lebih baik pengurusan kawasan ini diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar kemudahan yang sedia ada dapat menjana pulangan yang sepatutnya selain menjadi daya tarikan kepada pengunjung,” katanya.
Mohammed Ibrahim dalam pada itu menambah, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang tidak lagi beroperasi sejak tiga bulan lalu turut menyebabkan bazar di Tok Bali kurang dikunjungi kecuali pada malam Khamis sahaja.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula dengan perancangan yang lebih berkesan agar bangunan yang dibina itu tidak terbiar dalam tempoh yang panjang tanpa memberi sebarang pendapatan dan keuntungan yang sepatutnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan