PASIR PUTEH: Taman Perindustrian Tok Bali yang akan diwujudkan di sini oleh kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada lebih 800 usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan mempertingkatkan perniagaan masing-masing.
Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman berkata penubuhan taman perindustrian tersebut adalah sejajar dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang,Terengganu dan Kelantan.
"Dengan adanya sebuah stesen (kereta api) yang akan dibina di Tok Bali, ia memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian masing-masing menerusi perkhidmatan kereta api, ke Kuala Lumpur dan juga (untuk tujuan pengeksportan) (menerusi) Pelabuhan Klang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali adalah antara projek pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 pada bulan lepas.
Projek ECRL yang membabitkan kos RM55 bilion bagi laluan sepanjang 688 kilometer dijangka siap pada 2024.
Zawawi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Semerak berkata kawasan seluas lebih 100 hektar di Tok Bali telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian tersebut.
Beliau berkata taman perindustrian tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan untuk lebih 5,000 penduduk Kelantan.
Sumber: Bernama | 14 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan