Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 November 2017

Kerajaan Persekutuan komited bantu Kelantan atasi masalah kewangan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sentiasa komited menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung defisit perbe­lanjaan me­ngurus yang dihadapi ke­rajaan Pas Kelantan pada setiap tahun.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Yahaya Mamat berkata, sejak 2005, Kelantan boleh dikatakan mengalami defisit perbelanjaan me­ngurus ter­tinggi berbanding negeri-ne­geri lain.

Katanya, sehingga 2016, jumlah peruntukan diterima Kelantan mencecah RM812 juta, iaitu jauh lebih tinggi berbanding Perlis (RM167 juta), Kedah (RM47 juta), Terengganu (RM29 ju­ta), Mela­ka (RM21 juta) dan Nege­ri Sembilan (RM7 juta).

“Hasil pendapatan kerajaan negeri tidak pernah cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus se­perti membayar gaji kakita­ngan negeri. Kerajaan Pu­sat pula tidak pernah gagal membantu mengatasi ma­salah ini.

“Berdasarkan situasi ini, adalah tidak wajar untuk kita terus melempar tohmahan kononnya kerajaan Persekutuan zalim dan menganaktirikan Kelantan kerana ditadbir Pas,” kata­nya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Yahaya dalam pada itu memberitahu, antara inisiatif lain dilaksanakan ke­rajaan Pusat bagi meringankan beban kerajaan Kelantan termasuk menghapus kira RM56 juta hutang air menerusi penstrukturan semula bekalan air negeri atau migrasi air.

Katanya, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah mengambil alih pinjaman kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM554 juta dan RM50 juta kepada Maybank.

“PAAB juga mengambil alih pembiayaan modal berjumlah RM293.7 juta bagi membina lapan loji rawatan air di seluruh negeri, menaik taraf paip sambungan, membina menara agihan serta program mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Kerajaan Persekutuan juga akan membiayai projek sumber air menerusi geran tanpa bayaran balik melalui agensi atau jabatan sedia ada,” katanya.

Yahaya menambah, saban tahun, kerajaan Pusat tidak pernah gagal menyalurkan sebanyak RM21.93 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membiayai pembayaran gaji pekerja, pembelian alatan, program kebersihan dan perkhidmatan perbandaran.

Beliau turut berkata, kerajaan Persekutuan juga memberi perhatian serius terhadap satu lagi masalah utama di Kelantan iaitu jaringan perhubungan.

Berdasarkan rekod kata­nya, sebanyak RM529.45 juta diperuntukkan kepada Kelantan bagi membiayai Projek Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jalan Perhubung­an Desa (JPD) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 31 Oktober 2017 | Terbitan 1 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan