Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 November 2017

Aktiviti pembalakan, pertanian di Hulu Kelantan masih diteruskan - Mohd Amar

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak pernah mengeluarkan arahan kepada syarikat pembalakan dan pengusaha pertanian untuk menghentikan aktiviti mereka di hulu Kelantan termasuk pada musim tengkujuh, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata setakat ini semua aktiviti terbabit masih diteruskan. 

"Cuma selepas banjir besar pada 2014, kita memantau aktiviti pembalakan dan pertanian di kawasan pedalaman dan hanya akan campur tangan jika ada laporan daripada agensi berkaitan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan kerajaan Kelantan dalam menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri juga tidak menetapkan sebarang peraturan khusus bagi menghentikan kedua-dua aktiviti berkenaan ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun menurut Mohd Amar, pengusaha pertanian dan pembalakan biasanya akan mengurangkan atau menghentikan aktiviti mereka jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, khususnya bermula Oktober dan November.

Sumber: Bernama | 1 November 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan