KUANTAN: Pahang merekodkan kehadiran pelancong seramai 11.25 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM7.48 bilion setakat September lalu, sempena Tahun Melawat Pahang 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata jumlah pelancong itu tidak termasuk anggaran dua juta pelancong yang bermalam di rumah tumpangan dan hotel bajet yang tidak berdaftar.
"Peningkatan pelancong yang paling ketara ialah di Sungai Lembing iaitu sebanyak 109 peratus, diikuti Pekan dan Temerloh. Berdasarkan statistik, Genting Highlands mencatatkan jumlah pelancong paling ramai iaitu sebanyak 6.6 juta orang," katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang ingin tahun jumlah kehadiran pelancong.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan hotel bajet atau rumah inap desa berdaftar, Mohd Sharkar berkata perkara itu sedang dalam kajian.
"Hotel bajet yang tidak berdaftar ini memang menyebabkan berlaku sedikit kerugian dari segi angka seperti dalam kutipan cukai. Tapi kita sedar bahawa mutakhir ini, banyak rumah ditukar menjadi rumah tumpangan atau inap desa.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mengkaji bagaimana hendak mendaftarkan rumah seperti ini, namun kebanyakan mereka terletak di kawasan pedalaman yang tidak termasuk di bawah bidang kuasa PBT.
"Kami faham bahawa ramai penduduk di luar bandar terlibat dengan inap desa selepas anak mereka sudah besar dan berhijrah. Ini menjana pendapatan kepada mereka daripada membiarkan dua atau tiga bilik di rumah kosong," katanya.
Sementara itu, Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) pada soalan tambahannya menyentuh aspek keselamatan di rumah inap desa dan hotel bajet yang tidak berdaftar kerana mereka tidak diselia seperti hotel.
Mohd Sharkar berkata aspek keselamatan menjadi keutamaan kerajaan negeri dan antara tindakan yang dilakukan adalah memberikan kursus dan taklimat kepada pengusaha inap desa.
Sumber: Bernama | 20 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan