BACHOK: Jabatan Perikanan Kelantan menahan lima bot pukat tunda nelayan tempatan yang menangkap ikan di kawasan zon menangkap ikan yang dikhususkan untuk nelayan pinggir pantai di sekitar perairan Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Anuar Salam Sulaiman berkata nelayan terbabit sepatutnya menangkap ikan di kawasan dua batu nautika ke atas namun mereka dikesan menjalankan aktiviti itu di kawasan satu batu nautika dari pantai Tok Bali.
"Kegiatan menangkap ikan di kawasan kurang dua batu nautika dari pantai menjejaskan hasil tangkapan nelayan pinggir pantai," katanya kepada pemberita di Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan Jabatan Perikanan, Tawang, di sini hari ini.
Anuar Salam berkata seramai 15 orang nelayan termasuk lima tekong yang berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan antara pukul 8 pagi dan 10 pagi ketika sedang menangkap ikan.
"Ketika musim tengkujuh ini, udang akan berada lebih dekat dengan pantai, mereka sepatutnya membuat tangkapan menggunakan pukat hanyut tiga lapis tetapi mungkin mereka nak jumlah yang banyak dalam masa singkat, mereka menggunakan peralatan yang dilarang iaitu pukat tunda," katanya.
Beliau berkata nelayan terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan kompaun tidak kurang daripada RM500 dan peralatan serta hasil tangkapan dirampas.
Katanya pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan pinggir pantai mengenai pencerobohan bot pukat tunda di kawasan sekitar dua batu nautika dari pantai negeri ini.
Sumber: Bernama | 13 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan