Beginilah keadaan kolam mata air panas Sungai Ber di Lojing yang terbiar tanpa penyelenggaraan yang sepatutnya sehingga tidak lagi menarik perhatian pengunjung. |
LOJING: Mata air panas Sungai Ber di Lojing di sini yang berpotensi menjadi kawasan tarikan geopelancongan kerana memiliki suhu terpanas di negeri ini kini terbiar tanpa penyelenggaraan sehingga diancam kemusnahan.
Dengan suhu mencecah 72 Celsius, kawasan itu yang turut diiktiraf sebagai geotapak atau tapak sumber warisan geologi menjadi tumpuan orang ramai terutamanya mereka yang menghidap penyakit dan masalah kulit.
Bagaimanapun, kolam itu ketika ini dilihat semakin terbiar dengan persekitaran yang kotor dan dipenuhi semak.
Seorang pengunjung, Mohd. Zaid Ibrahim, 40, berkata, keadaan itu boleh menghakis minat orang ramai untuk berkunjung ke tempat berkenaan pada masa depan.
“Pihak berkuasa harus lebih peka dengan melakukan pembersihan secara kerap di kawasan berkenaan sekiranya tidak mahu berdepan kemusnahan teruk.
“Kolam ini terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong asing. Kami bimbang, kawasan ini akan dilupakan kerana persekitarannya yang tidak lagi indah selain faktor keselamatan,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pengunjung, Nor Diana Alias, 33, berasa kecewa kerana pihak berwajib kurang membuat publisiti untuk kolam air panas yang terletak di tepi jalan Gua Musang-Lojing berhampiran penempatan Orang Asli Pos Hendrop tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan