KOTA BHARU: Hari MITI Zon Pantai Timur 2017 yang bakal berlangsung di Hotel Grand Riverview, di sini pada 19 dan 20 November ini menawarkan pelbagai program bermanfaat kepada pengunjung termasuk 2,500 peluang pekerjaan di 27 syarikat multinasional serta peluang mengembangkan perniagaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Nik Mohd. Fahim Muhaimin berkata, antara syarikat yang akan membuat temuduga terbuka adalah Rohm-Waco Electronics, Ain Medicare Sdn. Bhd., Malaysian Rail Link (MRL), Coca Cola, Tok Bali Supply Base, Nasional Wide Express, QSR Brands serta Pelaburan MARA Berhad.
Katanya, sesi temuduga akan diadakan pada hari pertama sahaja iaitu pada 19 November dan orang ramai berminat mencari pekerjaan dinasihatkan melayari laman Facebook 'MIDA Kelantan' bagi mendapatkan panduan berguna sebelum mereka menghadiri temuduga tersebut.
"Hari terbuka ini disertai pelbagai agensi dibawah MITI termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.).
"Pada hari pertama juga akan diadakan pelancaran Perodua Myvi baharu yang julung-julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur. Selain itu, antara aktiviti lain sepanjang dua hari program termasuklah pameran automotif, seminar pelaburan, forum 'Mari Nego Caro MITI' serta E-Dagang bersama Google," katanya.
Menurut Nik Mohd. Fahim, program tersebut yang dibuka kepada orang ramai bermula 9 pagi hingga 5 petang bertujuan mempromosi peranan dan fungsi kementerian serta semua agensi di bawahnya kepada orang ramai.
"Dijangkakan lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari program berlangsung.
"Pada hari terbuka itu, bas ulang-alik secara percuma disediakan setiap 30 minit di Aeon Mall, KB Mall, Stadium Sultan Muhammad IV Parkson Mall dan Stesen Bas SKMK. Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.miti.gov.my," katanya.
Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 15 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan