PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas henti-henti Mybas menerusi Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) akan mula beroperasi di Terengganu awal tahun depan, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Menurutnya, pengurusan Mybas kendalian MARA Liner Sdn Bhd akan berpusat di Kuala Terengganu, membabitkan 32 buah bas.
"Mybas adalah projek perintis yang diusahakan kerajaan pusat dan selain 32 bas itu, Terengganu juga akan menerima lapan buat bas elektrik yang akan digunakan dalam perkhidmatan tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Untuk permulaan, katanya, Mybas akan melibatkan lapan laluan yang akan diumumkan kemudian dengan laluan-laluan tersebut berkaitan dengan tempat kemudahan awam seperti hospital dan Pasar Payang selain tempat-tempat tarikan pelancong.
Katanya perkhidmatan bas untuk laluan dalam bandar di negeri tersebut diakui mempunyai masalah kerana banyak syarikat bas yang menghentikan operasi kerana tidak dapat menjana keuntungan.
"Alhamdulillah, Mybas akan mengambil alih peranan itu dengan projek perintis dilaksanakan di Kuala Terengganu terlebih dahulu dan jika berjaya ia akan diperluas ke kawasan tumpuan yang lain," katanya.
Terdahulu, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 pada 23 hingga 26 Nov ini di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
Katanya dijangka lebih 300 atlet dan pegawai akan terlibat dalam kejohanan tersebut termasuk peserta luar negara seperti Thailand, Singapura; Jepun dan Indonesia.
"Objektif utama kejohanan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu ini ialah untuk menghimpunkan pelayar-pelayar profesional dan amatur dari dalam dan luar negara.
"Acara yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM60,000 ini akan dijadikan acara tahunan dan dijangka 10,000 pengunjung akan hadir menyaksikannya sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri itu," katanya.
Sementara itu, beliau berkata keputusan mengenai satu atau dua pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan belum dimuktamadkan lagi dan keputusan mengenainya dijangka dibuat pada akhir tahun ini.
Sumber: Bernama | 15 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan