KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan terhadap seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Tanah Merah yang disyaki menerima suapan.
Perintah reman tersebut yang bermula hari ini dan berakhir Rabu depan itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Nor Faizah Abdullah.
Terdahulu, suspek yang ditangkap oleh SPRM petang semalam di Tanah Merah, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira 10 pagi hari ini dengan diiringi beberapa pegawai SPRM Kelantan.
Semalam, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsudin Yusof dipetik sebagai berkata menahan suspek selepas disyaki meminta suapan sebanyak RM500 daripada seorang pengadu sebagai balasan menyelesaikan waran tangkapan kerana positif ujian saringan air kencing.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi atau menawarkan suapan.
Sumber: Bernama | 23 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan