PASIR MAS: Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) memandang serius masalah anjing liar dan sedang giat mengadakan operasi menangkap haiwan berkenaan dari semasa ke semasa.
Setiausaha MDPM Mohd. Zaidi Jusoh berkata, dalam satu operasi kelmarin, sebanyak 11 ekor anjing liar berjaya ditangkap dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.
Menurutnya, operasi tersebut bermula pukul 10 hingga 3 pagi dan melibatkan beberapa lokasi iaitu Kampung Jias, Kampung Kasa, Kampung Dangar, Perumahan Lubok Jong dan Kampung Chetok.
“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan seliaan MDPM bebas anjing liar.
“Kita pandang serius perkara ini kerana masalah anjing liar boleh mendatangkan mudarat jika tidak ditangani dengan betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Zaidi memberitahu, MDPM berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya kawasan mereka berdepan ancaman anjing liar.
“Tindakan segera ini penting memastikan tidak timbul sebarang masalah yang lebih berat pada masa depan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 500 penduduk di Kampung Dangar diselubungi ketakutan apabila kawasan kediaman mereka diganggu puluhan anjing liar.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan