Program anjuran Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu diadakan sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-48.
Pemangku Raja tiba tepat pukul 9 pagi di Dataran Bandar Raya bersebelahan MPKB-BRI, di sini lalu meluangkan masa lebih sejam bersama rakyat untuk melakukan aktiviti seperti membersihkan jalan, mencantas daun pokok hiasan dan mengecat pagar.
Terdahulu, Yang DiPertua Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim berkata, program tersebut bertujuan memupuk kecintaan kepada keindahan dan kebersihan dalam kalangan rakyat.
“Kita perlu menjaga imej Kelantan sebagai negeri yang terkenal dengan barangan murah dan nilai Islam sebab itu agenda kebersihan dan keindahan harus menjadi keutamaan semua dan bukan bergantung harap kepada pihak berkuasa tempatan sahaja.
“Diharap rakyat mencontohi Pemangku Raja Kelantan yang sanggup turun bergotong-royong bersama dan sangat mengambil berat isu kebersihan sebagaimana baginda pernah bangkitkan tentang keadaan tandas-tandas masjid yang kotor dulu,” katanya.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.
Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Umi Atikah Abd. Shukor, 21, berkata, dia tidak menyangka Pemangku Raja Kelantan sudi menyertai rakyat dalam aktiviti seperti itu.
“Saya berasal dari Pekan, Pahang dan sering mengikuti program anjuran MPKB-BRI sejak tiga tahun melalui Kelab Rekreasi UiTM Kampus Kota Bharu.
“Negeri ini tidaklah sekotor sebagaimana ramai orang sangka tetapi program sebegini amat baik untuk meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Ahmad Fariz Aiman Aziz, 16, dari Maahad Tahfiz Wal Qiraat Pulai Chondong pula berkata, dia bersama kira-kira 30 rakan sekolahnya menunggang motosikal dari Machang kerana mahu mengambil bahagian dalam program itu.
Para peserta membuat aktiviti gotong-royong di tujuh ‘check point’ iaitu Dataran Bandar Raya, Medan Ilmu, Stesen Bas Bandar Kota Bharu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Tok Guru, Bazar Buluh Kubu dan Jalan Sultanah Zainab.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 12 November 2017 | Terbitan 13 November 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan