KOTA BHARU: Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Kelantan merampas 10,050 kilogram (kg) beras siam bernilai RM60,300 di Kampung Banggol Setol, Pasir Mas dan 60 kotak mercun bernilai RM41,600 dalam serbuan di Kampung Tegayong, Tumpat, awal pagi tadi.
Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam serbuan pertama di sebuah ban tembakau terbiar pada pukul 1.30 pagi di Kampung Banggol Setol itu, sepasukan enam anggota agensi itu menjumpai 201 kampit beras Siam yang setiap satunya seberat 50kg.
"Sebelum serbuan dilakukan, anggota kami yang membuat intipan di kawasan tersebut telah ternampak kelibat sebuah lori yang dipercayai datang untuk mengambil beras yang disimpan di ban tembakau terbiar itu.
Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori berkenaan kemudiannya berpatah balik dan meninggalkan beras-beras yang disorokkan di ban tembakau tersebut," katanya pada sidang akhbar di Pejabat AKSEM Kelantan di sini, Ahad.
Katanya beliau percaya beras tersebut diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran menerusi pangkalan haram di Bukit Lata dan Jeram Perdah.
Beliau berkata kes itu akan diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
Mohd Asri berkata dalam serbuan kedua di sebuah rumah separuh siap di Kampung Tegayong, pada pukul 3 pagi tadi menemukan 60 bungkusan pelbagai jenis mercun, juga dipercayai diseludup dari negara jiran.
Beliau berkata selepas mendapat maklumat daripada orang awam, sepasukan tujuh anggota terus melakukan serbuan di rumah tersebut dan menemui kotak mercun yang dibungkus dalam plastik berwarna hitam.
"Kita percaya kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM41,600 itu akan dihantar ke luar Kelantan sempena sambutan Krismas atau Tahun Baru Cina akan datang," katanya.
Katanya kes berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sumber: Bernama | 27 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan