Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 20 November 2016

Majlis Dakwah Negara bantu kukuhkan perpaduan ummah di Kelantan

PASIR PUTEH: Majlis Dakwah Negara (MDN) akan membantu meredakan 'perbalahan' di antara parti politik di Kelantan bagi mewujudkan perpaduan ummah yang kukuh untuk membangunkan negeri ini.

Pengerusi MDN Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata mulai awal tahun depan, pihaknya akan turun padang bagi menganjurkan pelbagai program termasuk ceramah, forum dan seminar bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya perpaduan.

"Kami mempunyai tenaga ilmuan dan profesional yang terdiri daripada anak-anak Kelantan yang boleh bertindak sebagai orang tengah dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik," katanya kepada pemberita pada Pemukiman Ilmuan dan Profesional Kelantan 2016 di Tok Bali di sini, hari Sabtu.

Majlis anjuran MDN dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu dihadiri 300 peserta daripada kalangan ilmuan dan profesional.

Mahmood Zuhdi berkata setakat ini, terdapat pemimpin parti politik di negeri ini menunjukkan reaksi positif ke arah perpaduan ummah namun anggota di peringkat bawah masih tidak berubah.

Beliau berkata MDN mahu melihat rakyat di negeri ini dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Turut hadir Pesuruhjaya MDN Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad.

Sumber: Bernama | 19 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan