Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

Tindakan undang-undang jika terus berdegil halang pengeluaran balak - MB Kelantan

KOTA BHARU: Pihak yang terbabit membuat sekatan di laluan keluar masuk lori untuk mengangkut keluar balak di Gua Musang, dinasihat segera menghentikan perbuatan itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah mengeluarkan notis pada 6 November lepas supaya pihak terbabit menghentikan sekatan dan bersurai dari kawasan tersebut.

"Tindakan itu bagi memberi peluang kepada pembalak mengeluarkan kayu balak yang sudah mereka tebang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, Rabu.

Pada 3 Oktober lepas, kerajaan negeri mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei (Gua Musang) sejak 26 September.

Kumpulan itu yang dipercayai didalangi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa semua aktiviti pembalakan di HKS Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan dengan mendakwa ia merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Ahmad menjelaskan notis dikeluarkan pada 6 November lepas itu ditujukan kepada pengerusi atau ketua NGO berkaitan supaya menghentikan sekatan dan bersurai dari kawasan terbabit.

"Memang ada pihak (Orang Asli) yang datang berbincang dengan kerajaan negeri dan kita bukannya mengambil tindakan sewenang-wenangnya," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan nasib masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Sumber: Bernama | 9 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan