Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 11 November 2016

Kelantan bersiap siaga hadapi banjir

KOTA BHARU: Monsun Timur Laut, yang diramal bermula pertengahan bulan ini dan berakhir Mac tahun depan, lazimnya membawa peningkatan taburan hujan yang akhirnya boleh mengakibatkan banjir.

Hujan lebat sudah mulai turun di beberapa kawasan di negara ini. Menurut ramalan Jabatan Meteorologi, tiga negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Johor dijangka menerima curahan hujan ekstrem pada sekitar bulan ini hingga Disember.

"Sekitar bulan ini, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima jumlah hujan antara 300 dan 900 milimeter (mm) manakala beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, timur Pahang dan timur Johor dijangka menerima jumlah hujan antara 400 dan 800mm pada Disember," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau kepada Bernama baru-baru ini.

Hujan lebat yang turun berterusan selama beberapa hari boleh mengakibatkan sama ada banjir pada skala kecil atau besar seperti bah kuning pada Disember 2014, yang mengakibatkan lebih 150,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir di seluruh Kelantan.

Mengimbas kembali bah kuning 2014, rata-rata penduduk di negeri Cik Siti Wan Kembang, tidak lagi boleh teruja menunggu 'pesta bermain air' di musim tengkujuh.

Bah kuning terburuk dilihat memberi banyak pengajaran kepada rakyat serta kerajaan persekutuan dan negeri untuk memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi bencana alam ini.

PERSIAPAN MENGHADAPI BANJIR
Pelbagai inisiatif dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana (JPBB) di peringkat negeri dan jajahan (daerah) sebagai persiapan menghadapi banjir kali ini.

JPBB peringkat negeri dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat manakala peringkat jajahan oleh ketua jajahan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia selaku urusetia.

Bagi menjamin persiapan awal dilakukan sebaik mungkin sebelum berlakunya bencana, Nadma memberi penerangan dan latihan kepada agensi-agensi kerajaan di samping melaksanakan latihan kesedaran awam mengenai bencana supaya orang ramai bersiap siaga menghadapinya.

JPBB juga mengadakan beberapa siri mesyuarat peringkat negeri dan jajahan bagi membuat persiapan awal daripada segi kekuatan keanggotaan dan logistik.

Timbalan Pengerusi JPBB Datuk Mahktar Mustapa berkata kekuatan daripada kesemua agensi kali ini berjumlah 5,247 orang, yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Daripada segi logistik, sejumlah 111 kenderaan berat seperti lori, 172 kenderaan pacuan empat roda dan 29 buah van disediakan sebagai pengangkutan darat.

"Persediaan logisik bagi aktiviti menyelamat di air termasuk bot sebanyak 208 buah, jaket keselamatan sebanyak 2,656. Selain itu, 21 unit ambulans disediakan untuk operasi menyelamat," katanya.

PUSAT PEMINDAHAN

Makhtar, yang juga Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, berkata terdapat 737 pusat pemindahan dengan kapasiti lebih 200,000 orang disediakan di seluruh Kelantan.

Kota Bharu mempunyai pusat pemindahan terbanyak iaitu 161 pusat diikuti Kuala Krai (105), Pasir Mas (104), Tanah Merah (99), Machang (88), Pasir Puteh (60), Gua Musang (41), Jeli (32), Tumpat (29), dan Bachok (18).

Pusat-pusat pemindahan berkenaan akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bulan Sabit Merah.

Beliau berkata JKM mempunyai 221 pengkalan hadapan di Kelantan sebagai tempat penyimpanan bahan keperluan asas seperti makanan, pakaian, selimut dan lain-lain, untuk dihantar ke kawasan yang dilanda banjir.

JKM juga mempunyai sebuah depo di Pengkalan Chepa dan 18 stor di seluruh negeri ini, bagi tujuan sama.

Sejumlah RM800,000 diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan bagi penyediaan bekalan makanan mangsa banjir, yang mencukupi bagi menampung 215,955 mangsa banjir.

Sebanyak 55 pembekal barangan keperluan dikenal pasti dan mereka berupaya menghantar terus bekalan ke stor dan depo serta pusat pemindahan.

Mengenai persediaan dalam memastikan bekalan elektrik tidak terputus ketika banjir, Makhtar berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil inisiatif sewajarnya seperti meninggikan pencawang dan membaik pulih menara yang bermasalah.

Begitu juga dengan sistem telekomunikasi, telah diambil tindakan sewajarnya oleh syarikat telekomunikasi berdasarkan pengalaman mereka pada bah kuning 2014 lalu, katanya.

AMARAN AWAL

"Pada tahun ini, kita telah menguar-uarkan lebih awal melalui televisyen dan radio serta media sosial, supaya orang ramai sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya dikehendaki berpindah ke pusat pemindahan.

"Mangsa-mangsa perlu ikut saja arahan kerana kita bimbang penduduk akan terperangkap dalam banjir, seperti yang berlaku pada 2014 ramai mangsa terperangkap kerana pihak berkuasa tidak dapat masuk ke kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata Nadma telah memperkenalkan SOP kepada orang ramai terutama di kawasan rendah, supaya bersiap sedia lebih awal termasuk setiap ahli keluarga perlu mempunyai sebuah beg sandang untuk diisi dengan dokumen penting, ubat-ubatan dan air mineral.

Makhtar berkata Kelantan turut mencontohi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kemaman dalam menghadapi banjir yang bukan sahaja berjaya mencapai piawaian 'gold standard' dalam negara tetapi turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SOP Kemaman Siap Siaga yang merupakan satu program dalam inisiatif Komuniti Pintar Kemaman memenangi anugerah pada Sidang Kemuncak mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) di Geneva tahun lepas.

"Kita sama-sama mendoakan perkara ini (semua persiapan) dapat kita laksanakan dengan selicin-licinnya," kata Makhtar.

Sumber: Bernama | 11 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan