Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

Polis marin Pengkalan Kubor rampas kereta diubahsuai seludup petrol ke Thailand

TUMPAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas sebuah kereta yang diubahsuai sehingga mampu memuatkan kira-kira 500 liter petrol untuk diseludup ke Thailand dalam satu serbuan di Kampung Surau Lama, Simpangan di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, ASP Ahmad Amri Abd Rahman berkata sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan di kampung itu, ternampak tiga lelaki sedang memindahkan petrol dari sebuah kereta Proton Wira ke dalam sebuah bot di Sungai Golok, kira-kira pukul 8.30 malam.

"Apabila mereka menyedari kehadiran kami, dua suspek bertindak melarikan diri ke dalam semak manakala seorang lagi suspek memandu bot menghala ke negara jiran," katanya kepada pemberita di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor di sini, Isnin.

Ahmad Amri berkata pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan itu mendapati tangkinya telah diubah suai dan terdapat baki 90 liter petrol dalam kereta berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kereta itu mampu memuatkan kira-kira 500 liter petrol berdasarkan saiz tangkinya. Kita percaya sekurang-kurangnya 410 liter minyak petrol telah berjaya diseludup suspek ke Thailand," katanya.

Beliau berkata sindiket penyeludupan petrol dan minyak masak kini kembali aktif di Tumpat yang bersempadan dengan Thailand, berikutan permintaan tinggi daripada negara jiran.

"Walaupun pernah ditahan dan barang dirampas, mereka (penyeludup) masih tidak serik," katanya.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan ialah mengumpul petrol yang dibeli dari beberapa stesen minyak sekitar Tumpat sebelum berulang-alik menyeludup petrol ke negara jiran menggunakan bot.

"Kita sedang mengesan semua suspek yang terlibat selain memeriksa status terkini kenderaan sama ada milik anggota sindiket atau 'kenderaan sakit'," katanya.

'Kenderaan sakit' merujuk kepada kenderaan yang terlibat dalam kes berkaitan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mempunyai masalah dengan agensi kewangan mengikut Akta Sewa Beli.

Beliau berkata semua barang rampasan dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Polis 1967.

Katanya, PPM akan terus memperkasa penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dibanteras dan beliau turut memberi amaran pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbabit dengan aktiviti penyeludupan.

Sumber
: Bernama | 7 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan