KOTA BHARU: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) merayu kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan agar semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, HSK Perias dan Gunung Stong Selatan, Gua Musang.
Peka dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata ini bagi memudahkan pihak terbabit menghantar bekalan keperluan seperti makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat Orang Asli yang mendiami kawasan itu.
Pertubuhan itu berkata langkah jabatan itu tidak mengeluarkan permit masuk ke kawasan berkenaan adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan terhadap kaum itu yang sedang mengadakan sekatan bagi menghalang pengeluaran kayu balak dari HSK Balah.
"PEKA memandang berat perkara ini kerana tanpa permit masuk kami tidak dapat menghantar makanan dan bantuan perubatan kepada masyarakat Orang Asli di situ. Kami berharap Jabatan Perhutanan Kelantan lebih bertanggungjawab untuk memastikan tidak ada yang terkorban dalam sengketa ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, Peka berpendirian bahawa masyarakat Orang Asli berhak mempertahankan kampung halaman mereka yang kini dicerobohi oleh kegiatan pembalakan hingga menjejaskan kehidupan mereka dan sumber pendapatan.
"Kegiatan pembalakan di kawasan ini juga telah merosakkan alam sekitar serta mencemarkan punca air bersih. Sekiranya ini diteruskan maka kawasan ini berhadapan dengan kemungkinan berlaku banjir besar dan bencana alam yang lain," katanya.
Peka mendakwa tindakan jabatan itu bertentangan dengan prinsip rakyat didahulukan malah bertujuan untuk menjaga kepentingan pembalak dan pihak yang berkaitan.
Berkuat kuasa semalam, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menghentikan sementara pengeluaran permit memasuki tiga kawasan HSK itu bertujuan memastikan proses perundingan berkaitan tuntutan Orang Asli dengan kerajaan negeri tidak terjejas.
Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim dilaporkan berkata pengeluaran permit itu dihentikan sementara susulan notis pengosongan yang dikeluarkan jabatan itu di beberapa lokasi sekatan oleh Orang Asli di Gua Musang.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada penduduk Orang Asli yang lahir dan berasal dari Kelantan sahaja.
Urusan rasmi antara agensi kerajaan dengan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kesihatan masih boleh diteruskan tanpa sebarang halangan.
Mana-mana individu dan pihak luar yang ingin membuat aktiviti kebajikan termasuk penghantaran makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat Orang Asli hendaklah melalui Jabatan Perhutanan Negeri itu.
Sumber: Bernama | 18 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan