KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang mencari penaja bagi persiapan skuad The Red Warriors menyertai saingan Liga Malaysia musim depan.
Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata pihaknya memandang serius perkara itu untuk membolehkan mereka membentuk pasukan yang terbaik.
"Kos menyertai saingan itu adalah tinggi, KAFA memerlukan lebih banyak penaja bagi menyuntik dana sebagai mempersiapkan pasukan untuk bersaing secara kompetitif dalam liga domestik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Afandi berkata dana peribadi sebanyak RM3 juta yang disumbangkan Tan Sri Annuar Musa selepas melepaskan jawatan sebagai Presiden KAFA baru-baru ini, adalah suntikan kewangan yang bermakna bagi pasukan Kelantan tetapi ia masih tidak mencukupi.
"Setiap musim KAFA memerlukan sekurang-kurang RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal memberi saingan kepada pasukan lain.
"Masa kian suntuk, semua persatuan sedang melakukan persiapan dan tarikh tutup pendaftaran pasukan adalah hujung Disember ini. Oleh itu kami perlu berusaha keras mencari dana," katanya.
Sumber: Bernama | 23 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan