Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 26 November 2016

Sultan Muhammad V berkenan rasmi Taman Perlindungan Ekosistem Tasik Pergau

JELI: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Majlis Pengisytiharan Khas Taman Perlindungan Ekosistem di Tasik Pergau di sini, hari ini.

Baginda yang tiba di tasik itu pada 4.30 petang turut diiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis berkenaan, baginda berkenan melepaskan 200,000 pelbagai spesies ikan air tawar di tasik tersebut yang berkeluasan 4.3 kilometer persegi sebagai simbolik perasmian program berkenaan.

Sementara itu, Mohd Faudzi dalam ucapannya berkata program berkenaan merupakan ilham daripada Sultan Muhammad V sendiri bagi memelihara khazanah dan ekosistem yang terdapat di tasik berkenaan.

"Tasik buatan manusia itu diwartakan sebagai Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Muhammad V di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 yang mana ia merupakan kawasan larangan.

"Langkah itu dilakukan bagi membendung kegiatan percerobohan haram daripada mana-mana pihak yang cuba merosakkan ekosistem dan khazanah di tasik tersebut dan penceroboh boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara setahun," katanya.

Mohd Faudzi berkata program itu juga menepati Dasar Kehidupan Hijau Negara 2002 iaitu mengekalkan pembangunan lestari yang merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan Persekutuan, negeri dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Cetusan Sultan Muhammad V itu sekali gus menjadi makanisme kawalan terhadap alam semula jadi di kawasan itu dan akan menarik lebih ramai pemancing melalui amalan konsep "tangkap dan lepas"," katanya.

Sumber: Bernama | 25 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan