Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 13 November 2016

BNM kuat kuasa semula peraturan dagangan NDF bagi ringgit

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah untuk menguatkuasakan semula peraturan sedia ada yang ditetapkan bagi melarang permudahan kontrak hadapan yang tidak diserahkan (NDF) bagi ringgit.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata, ringgit kekal sebagai bukan mata wang perdagangan antarabangsa, oleh itu sebarang dagangan ringgit luar pesisir seperti NDF ringgit adalah tidak diiktiraf.

BNM menekankan bahawa tiada perubahan dalam peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing (FEA) dan tiada sebarang peraturan baharu yang diperkenalkan.

"BNM mengingatkan semua peserta pasaran untuk mematuhi peraturan FEA sedia ada, dan bank berlesen Malaysia perlu menghindari permudahan sebarang transaksi tukaran asing yang mungkin berkait dengan aktiviti pasaran NDF ringgit luar pesisir," kata BNM.

Bank pusat turut menasihatkan orang awam supaya menghubungi bank berlesen Malaysia untuk mendapatkan semua keperluan tukaran asing.

Pengurus dana dan aset asing juga perlu menghubungi bank berlesen Malaysia untuk nasihat dan langkah bagi sebarang transaksi tukaran asing, kata BNM.

"Kesemua bank berlesen Malaysia akan terus memudahkan permintaan pelanggan untuk perkhidmatan tukaran asing tertakluk kepada pematuhan FEA," katanya.

Bank pusat berkata, pasaran tukaran asing Malaysia kekal dibuka dan ia bersedia untuk menyediakan kecairan, jika perlu, untuk memastikan pasaran teratur.

"Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan sebenar dan menyediakan semua saluran untuk transaksi FX di samping melindung nilai keperluan dalam pesisir," kata BNM.

Sumber: Bernama | 13 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan