Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM56,888 dan senapang angin

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan 449 orang dan merampas dadah bernilai RM56,888 serta selaras senapang angin, dalam Operasi Mingguan Jihad Memerangi Dadah sejak 2 Nov lepas di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata daripada bilangan itu, seramai 13 orang disyaki pengedar dadah, 149 disyaki memiliki dadah, 286 orang positif dadah manakala seorang ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

"Kita dapati dalam kebanyakan operasi, dadah jenis pil kuda (methamphetamine) adalah paling banyak dirampas, dan dalam operasi minggu ini pil kuda yang dirampas adalah sebanyak 1,228 biji.

"Dadah lain yang dirampas adalah heroin, ganja, syabu, Eramin 5, ubat batuk, daun dan air ketum," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata polis menahan enam lelaki dan merampas sebotol air daun ketum serta sepucuk senapang angin dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tujuh, Tumpat pada pukul 3 petang semalam.

"Seorang daripada suspek berusia 36 tahun mempunyai lima rekod kesalahan lampau dan didapati positif opiate manakala yang lain negatif dadah," katanya.

Dalam tangkapan terbaharu pukul 10 pagi tadi, polis menahan empat lelaki berusia antara 32 dan 47 tahun yang positif morfin dalam satu serbuan di kawasan semak berdekatan Kampung Pak Kerau, Tumpat.

Dalam serbuan itu polis menjumpai 12 botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM24,000.

Sumber: Bernama | 8 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan