KOTA BHARU: Sekatan ekonomi perlu dilakukan segera terhadap Myanmar sebagai bantahan masyarakat antarabangsa atas pembunuhan etnik Islam Rohingya di negara itu, kata Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Beliau berkata badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN tidak seharusnya membisu terhadap kezaliman tersebut kerana ia membabitkan soal kemanusiaan.
"Kekejaman itu melebihi konflik yang berlaku di Bosnia, Serbia, Gaza dan Palestin, kenapa jika berkaitan isu nuklear, semua pihak mendesak sekeras-kerasnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Md Alwi berkata kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan dengan bersuara melalui ASEAN dan OIC untuk mendesak Myanmar menghentikan segera penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam Rohingya.
"Sebagai umat Islam, kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlarutan, malah agama lain juga tidak seharusnya membiarkan perkara itu berterusan kerana isu tersebut bukan isu agama tetapi berkaitan hak asasi kemanusian," katanya.
Sumber: Bernama | 24 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan